Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA – Dakwaan kakitangan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) masih tidak menerima bantuan khas Aidilfitri yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dijawab menteri yang bertanggungjawab.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Ahmad Fahmi Fadzil berkata, dakwaan itu akan beliau panjangkan kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

“Ini kali pertama saya dapat informasi, (saya) akan panjangkan kepada menteri berkaitan untuk tindakan segera,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Kabinet hari ini.

MalaysiaGazette hari ini melaporkan kakitangan MIROS iaitu agensi kerajaan di bawah Kementerian Pengangkutan kecewa kerana bantuan khas Aidilfitri yang diumumkan oleh Anwar masih belum diterima.

Laporan memetik sumber itu berkata, kira-kira 200 kakitangan MIROS masih menunggu keputusan Ahli Lembaga Pengarah (ALP) MIROS sebelum membuat pembayaran bantuan khas Aidilfitri berkenaan.

Pada awal bulan ini, Anwar mengumumkan bantuan khas berjumlah RM500 untuk diagihkan kepada setiap penjawat awam daripada Gred 56 ke bawah pada awal bulan ini.

Bantuan khas bertujuan mengurangkan bebanan lebih 1.5 juta penjawat awam sempena dengan Hari Raya Aidilfitri ini telah diumumkan pembayarannya pada 5 April 2024. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Kakitangan MIROS kecewa masih belum dapat bantuan khas Aidilfitri