Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kakitangan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), agensi kerajaan di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia kecewa kerana bantuan khas Aidilfitri yang diumumkan oleh Perdana Menteri masih belum diterima.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan bantuan khas berjumlah RM500 untuk diagihkan kepada setiap penjawat awam daripada Gred 56 ke bawah pada awal bulan ini.

Bantuan khas bertujuan mengurangkan bebanan lebih 1.5 juta penjawat awam sempena dengan Hari Raya Aidilfitri ini telah diumumkan pembayarannya pada 5 April 2024.

“Malangnya pihak pengurusan MIROS menghantar email pada tarikh yang sama untuk memaklumkan kepada 200 kakitangannya bahawa mereka menunggu keputusan Ahli Lembaga Pengarah (ALP) MIROS sebelum membuat pembayaran,” sumber memberitahu MalaysiaGazette.

Artikel berkaitan: Bantuan Khas Aidilfitri RM500 untuk semua penjawat awam

Email tersebut menyebut bahawa tarikh pembayaran “adalah ditangguhkan dan tertakluk kepada kelulusan dan penerimaan pakai oleh Lembaga Pengarah MIROS”, menurut sumber tersebut.

“Bagaimanapun pihak pengurusan MIROS tidak memaklumkan bilakah ALP akan bersidang,

“Sekarang sudah pun hampir dua minggu daripada tarikh pembayaran dan kakitangan MIROS masih tertunggu-tunggu,” kata sumber itu lagi.

“Sepatutnya pembayaran tersebut adalah wajib kepada semua penjawat awam pada tarikh yang diarahkan oleh kerajaan dan bukannya bergantung kepada keputusan ALP oleh mana-mana agensi,” kata sumber tersebut.

Satu surat Pekeliling Kerajaan mengenai pembayaran telah diedarkan kepada semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan yang ditandatangani oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Dato’ Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz bertarikh 1 April 2024. – MalaysiaGazette