PUTRAJAYA – Mesyuarat Kabinet mengambil keputusan untuk tidak meneruskan projek pembinaan lebuhraya Petaling Jaya Dispersal Elevated Highway (PJD Link), kata Fahmi Fadzil.

Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapati pemegang konsesinya, PJD Link (M) Sdn Bhd (PJD Link) gagal memenuhi enam daripada 11 syarat yang digariskan oleh kerajaan.

“Jemaah Menteri membuat keputusan tidak akan melanjutkan perbincangan dengan pihak PJD Link yang memohon lanjutan untuk memenuhi sejumlah syarat. Justeru itu, kerajaan menolak permohonan tersebut.

“Sebelum ini pihak syarikat sudah memohon dua kali lanjutan bagi memenuhi syarat ditetapkan. Akibat daripada kegagalan itu, maka projek terbabit tidak diteruskan,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, Kementerian Kerja Raya akan mengeluarkan butiran lanjut mengenai keputusan kerajaan berhubung projek berkenaan.

“Media akan mendapat maklumat terperinci rujuk Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi akan keluarkan kenyataan lanjut.

“Keputusan hari ini tak diberikan lanjutan masa kepada PJD Link kerana gagal memenuhi syarak yang ditetapkan,” katanya lagi.

Fahmi berkata, kerajaan sudah memberikan tiga kali pelanjutan kepada projek berekaan bagi melengkapkan syarikat berkenaan namun masih gagal dipenuhi.

Pada Julai tahun lalu, kerajaan Negeri Selangor memutuskan untuk membatalkan permohonan pembinaan lebuh raya berkenaan kerana pelan dikemukakan tidak menepati syarat.

Malah pada 24 Februari lalu, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari turut meminta pemaju lebuh raya yang dicadangkan untuk merundingkan semula jajarannya dengan Kerajaan Persekutuan.

Sebelum ini juga, Gabungan Persatuan Penduduk Taman Medan, Petaling Jaya yang mewakili 50,000 penduduk berharap kerajaan negeri dapat mengkaji semula pembinaan lebuh raya itu kerana ia mampu menyuraikan trafik di kawasan itu yang semakin serius.

PJD Link (M) Sdn Bhd (PJD Link), pemegang konsesi bagi cadangan PJD Link Expressway) sebelum ini memperoleh pembiayaan berjumlah RM922 juta, sebahagian daripada keperluan membiayai projek lebuh raya berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Menteri Komunikasi itu berkata, kata putus mengenai isu pengagihan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang akan dibincangkan petang ini.

“Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan Sekretariat petang ini akan membincangkan antara perkara yang difahamkan bincangkan mengenai perbincangan  peruntukan bagi pembangkang.

“Belum ada maklumat penuh, kita tunggu mesyuarat 5 petang nanti,” katanya ringkas.

Mesyuarat itu akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kompleks Seri Perdana yang akan turut disertai oleh semua pimpinan tertinggi Kerajaan Perpaduan. – MalaysiaGazette