Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) telah mengeluarkan Maklumat Keselamatan (Safety Information) berkenaan Amaran Bahaya Debu Gunung Berapi di Sulawesi Utara, Indonesia- Foto Hiasan

KUALA LUMPUR – Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menyarankan syarikat penerbangan dan pengendali pesawat memantau secara berterusan perkembangan meteorologi, notis serta maklumat berkaitan debu gunung berapi yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata, letusan gunung berapi yang berlaku di Gunung Ruang, Manado, Sulawesi Utara, Indonesia telah memberi impak kepada operasi penerbangan di Wilayah Maklumat Penerbangan (FIR) Kota Kinabalu.

“Kesan letusan ini telah menyebabkan terbentuknya awan debu yang bergerak menuju ke FIR Kota Kinabalu yang boleh mendatangkan risiko kepada keselamatan pesawat di ruang
udara berkenaan.

“Orang ramai yang terlibat bagi penerbangan melibatkan kawasan berkenaan dinasihatkan untuk sentiasa peka dengan maklumat yang dikeluarkan mengenai perkembangan letusan gunung berapi dan status terkini jadual penerbangan yang dikeluarkan oleh syarikat penerbangan,” katanya.

Terdahulu, syarikat penerbangan, Malaysia Airlines, AirAsia dan Batil Airways membatalkan beberapa penerbangan di antara Kuala Lumpur dengan Sabah dan Sarawak susulan letusan Gunung Ruang. – MalaysiaGazette