Tiga suspek yang terlibat dalam pemerasan dan melarikan perunding hutang diberkas polis di Puncak Alam semalam.- Gambar ihsan IPD Sungai Buloh.

SUNGAI BULOH – Tiga suspek lelaki yang dipercayai pemeras ugut telah melarikan seorang perunding hutang selain mengugut majikan mangsa membayar wang untuk melepaskan kakitangannya.

Mereka juga telah mengikat dan memukul mangsa.

Namun ketiga-tiga suspek akhirya tersungkur di tangan polis dalam serbuan yang dijalankan pada 17 April lalu, kata Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor hari ini.

Menurut beliau, polis telah menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan pada Selasa lalu  lebih kurang 10.46 malam mengenai insiden jenayah itu.

“Siasatan awal  pengadu menyatakan pekerjanya seorang lelaki tempatan berusia 20-an yang bekerja sebagai perunding hutang telah berjumpa dengan seorang wanita berkaitan dengan urusan pembayaran hutang milik syarikat pengadu.

“Kemudian, mangsa telah menghubungi pengadu dan menyatakan dia telah ditahan, dipukul, diikat dan dilarikan oleh beberapa orang lelaki.

“Suspek juga telah mengambil wang tunai milik pekerjanya sebanyak RM2,000 dan telah menghubungi pengadu meminta wang sebanyak RM7,000 jika mahu melepaskan pekerjanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Hafiz, bertindak atas laporan dan maklumat yang diperoleh, polis pada Rabu lalu lebih kurang 1.20 pagi membuat serbuan di kawasan sekitar Puncak Alam.

Hasil serbuan itu berjaya membawa pasukan penemuan mangsa lelaki sedang berada di dalam tahanan suspek.

“Kemudian pemeriksaan lanjut polis turut berjaya menangkap tiga lelaki berusia lingkungan umur 30 hingga 40-an yang bertanggungjawab melakukan jenayah tersebut.

“Siasatan lanjut polis berjaya merampas sebuah kereta jenis Honda, sebuah telefon bimbit milik pekerja pengadu, sebuah telefon bimbit milik suspek dan sekeping kad bank.

“Semakan lanjut mendapati suspek mempunyai empat rekod kesalahan jenayah lampau dan satu kesalahan dadah,” ujarnya lagi.

Polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana kesalahan cuba melakukan pemerasan yang boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu jika sabit kesalahan.

Kes turut disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana kesalahan dengan sengaja mendatangkan kecederaan dan boleh penjara maksimum dua tahun atau boleh denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahannya.

“Kini kesemua suspek sedang direman selama empat hari bermula semalam untuk membantu siasatan lanjut,” kata Mohd Hafiz.

Oang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes berkenaan bolehlah menghubungi pengawai penyiasat kes, Inspektor Mohamad Amirul Amin Shukor di talian 013-699 5290 untuk membantu siasatan. – MalaysiaGazette