MELAKA – Berita pemergian Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Melaka, Allahyarham Datuk Zaidi Johari, 54, pagi tadi disifatkan agak mengejut kerana tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda sakit malam tadi.
Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, kali terakhir beliau bertemu dengan SUK ke-29 itu adalah pada program rasmi melihat kerja-kerja menaik taraf Panggung Bangsawan di Jalan Hang Tuah malam tadi.
“Malam tadi saya bersama-sama dengan beliau dalam siri lawatan kerja ke panggung bangsawan, saya tidak nampak sebarang isyarat pemergian beliau pada hari ini.
“Berita pemergian Allahyarham yang diterima awal pagi ini amat sedih dan mengejutkan kerana telah kehilangan seorang penjawat awam yang baik dan berdedikasi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, beliau mengiringi Yang di-Pertua Negeri Tun Mohd Ali Mohd Rustam dan kira-kira 500 hadirin menunaikan solat jenazah pada pukul 10.55 pagi yang dipimpin Imam Besar Masjid Al Azim, Datuk Muhammad Hashim Al-Hafiz.
Ab Rauf turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham yang begitu komited merealisasikan segala dasar yang dibuat oleh kerajaan negeri kepada kakitangan awam sepanjang berkhidmat sebagai SUK bermula pada 5 Januari 2022 sehingga kini.
Media hari ini melaporkan Allahyarham meninggal dunia selepas mengalami serangan jantung, sewaktu berada di kediaman rasmi beliau di Bukit Peringgit, di sini pagi tadi sebelum dikejarkan ke Hospital Melaka.
Zaidi, menghembuskan nafas terakhir ketika mendapatkan rawatan di Hospital pada pukul 8.15 pagi.
Jenazah dibawa ke kediamannya di Batu 22, Kampung Tebong sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Tebong, Alor Gajah selepas solat Jumaat. – MalaysiaGazette