Menteri Sumber Manusia, Steven Sim

KUALA LUMPUR – Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong enggan mengulas lanjut laporan polis dilakukan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) Wilayah Utara yang mendakwanya menyalahguna kuasa berhubung keputusan pembayaran bantuan perayaan bagi pekerja-pekerja bank.

Jelasnya, isu berkenaan telah dibawa ke Mahkamah Perusahaan bagi tindakan selanjutnya.

“Isu ini telah dipanjangkan untuk perbicaran perusahaan jadi saya tidak mahu komen sebab sudah masuk dalam kes mahkamah,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Semalam NUBE membuat laporan polis yang mendakwa menteri itu bersekongkol dengan pihak Persatuan Bank-Bank Perdagangan Tanah Melayu (MCBA) berhubung pembayaran bantuan perayaan.

Menurut Pengerusi NUBE Wilayah Utara, Abdul Jamil Jalaludeen rundingan itu dibuat tanpa penglibatan NUBE.

Beliau turut mendakwa persetujuan mengenai pembayaran bantuan yang dilakukan Steven Sim bertentangan dengan Memorandum Perjanjian bersama MCBA yang ditandatangani mereka pada 5 April tahun lalu.

Laporan polis itu dibuat di Balai Polis Dato Keramat Georgetown.-MalaysiaGazette