KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) meminta orang ramai tidak terkejut atau bimbang jika terserempak dengan kehadiran pegawai dan anggota bersenjata sekitar kawasan Balai Pelepasan dan Balai Ketibaan di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Terminal KLIA 2.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kehadiran mereka bagi menjalankan penugasan kawalan keselamatan dan tinjauan secara menyeluruh pintu masuk utama negara.
Katanya, kawalan di kedua-dua terminal udara itu telah dipertingkatkan dengan menempatkan 23 anggota di Terminal 1 KLIA dan 14 pegawai dan anggota di KLIA 2 sejak Selasa lepas berikutan insiden tembakan di Balai Ketibaan KLIA Ahad lalu.
“Kawalan keselamatan dan pemantauan pada masa ini membabitkan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA dan Pasukan Gerakan Am (PGA) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri/Ketenteraman Awam (JKDNKA).
“Untuk kekuatan petugas PGA, PDRM menempatkan empat anggota dalam satu syif yang akan bertugas selama lapan jam dengan pengiliran sebanyak tiga syif sehari membabitkan kekuatan 12 petugas.
“Pada masa sama, satu syif akan berada dalam keadaan siap-sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan dalam menghadapi apa juga situasi dianggap mendatangkan ancaman,” katanya hari ini.
Tambah Razarudin, peningkatan kawalan keselamatan dan rondaan pemantauan adalah komitmen PDRM dalam menghadapi sebarang kemungkinan serta memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di pintu masuk utama ke Malaysia sentiasa dijamin.
Jelasnya lagi, dua anggota dari IPD KLIA akan bertugas di setiap aras membabitkan aras ketibaan di tingkat 3 dan aras pelepasan di tingkat 5 di KLIA dan konsep penugasan adalah bersesuaian dengan anggota beruniform lengkap bersenjata SMG HK MP5.
“Mereka ini (anggota IPD KLIA) akan berpasangan dengan anggota PGA yang berseragam penuh operasi lengkap berserta berret, body armor dan senjata utama serta senjata kedua.
“Penugasan secara prowler atau rondaan akan dilaksanakan di lapan pintu masuk dan keluar di Balai Pelepasan dan Balai Ketibaan di Terminal 1 KLIA.
“Di sini saya mahu menegaskan langkah ini adalah sebagai salah satu penambahbaikan dari PDRM demi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa diutamakan.
“Oleh demikian saya sangat berharap supaya semua pihak memberikan kerjasama sewajarnya demi kebaikan dan keselamatan kita bersama,” katanya.
Dalam kejadian tembak di Terminal 1 pada Ahad lalu, suspek Hafizul Harawi membaling mercun bola mencederakan dua awam sebelum menghampiri dan melepaskan dua das tembakan menyasarkan isterinya pada jarak tiga hingga empat meter ketika sedang menunggu menyambut jemaah umrah.
Bagaimanapun, satu tembakan yang dilepaskan tersasar manakala satu das lagi mengenai perut salah seorang daripada dua pengawal peribadi yang berjaya menyelamatkan wanita itu.
Suspek kemudian melarikan diri sebelum diberkas di Kota Bharu, Kelantan, Selasa lalu.
Suspek kemudian direman selama tujuh hari sehingga 22 April ini di Mahkamah Majistret Kota Bharu sebelum diterbangkan ke Selangor untuk siasatan lanjut.
Motif kejadian dipercayai berpunca akibat masalah peribadi antara suspek dan isteri. – MalaysiaGazette