Presiden PRK, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail melakukan gimik pelancaran Dokumen KEMAS16 dan POP25 ketika di Konvensyen 25 Tahun PKR di Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 21 APRIL 2024.

SHAH ALAM – Tiada sebarang tanda keretakan dalam Kerajaan Perpaduan yang diterajui Pakatan Harapan (PH) bersama Barisan Nasional (BN) ketika ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan perkara itu berkata, kerajaan setakat ini masih lagi mantap dan kukuh.

“Setakat ini belum ada petanda keretakan kecil sekali pun antara PH, UMNO-BN dan Sabah serta Sarawak.

“Bagi saya, setakat ini kerajaan masih mantap dan kukuh,” katanya ketika berucap pada Konvensyen 25 Tahun PKR di Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam hari ini.

Bagaimanapun, Anwar tidak menolak wujud kumpulan terdesak yang cuba mengadu domba.

“Yang ada hanya gerombolan-gerombolan desperado yang cuba adu domba. Saya bagi tahu kepada mereka good luck and good bye, it will not work,” katanya.

Sementara itu, Anwar yang juga Presiden PKR berkata, parti pimpinannya itu sedang merangka langkah untuk menjadi gergasi dalam politik di negara ini.

Bagi mencapai matlamat tersebut semua ahli parti bermula dari peringkat akar umbi perlu melaksanakan gerak kerja yang lebih jitu untuk meningkatkan kekuatan parti.

Pada masa sama, Anwar berkata, mereka juga perlu bertindak lebih agresif menjelaskan dasar serta program parti kepada orang ramai.

“Pertama, keanggotaan mesti ramai, ranting mesti hidup dan cabang-cabang mesti segar. MPN (majlis pimpinan negeri) harus lebih aktif dan jentera jawatankuasa mesti lebih hebat berbanding dulu.

“Parti perlu agresif menerangkan sikap dan pendirian serta bersungguh-sungguh perkuat jentera kita supaya Keadilan (PKR) muncul sebagai gergasi dalam sistem politik negara kita,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast