Oplus_0

PETALING JAYA – Calon Kerajaan Perpaduan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu akan dimuktamadkan dalam masa terdekat iaitu sebelum hari penamaan calon pada 27 April ini.

Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, bagaimanapun ia perlu melalui Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) dan seterusnya ke Majlis Presiden Kerajaan Perpaduan sebelum diputuskan.

“Kerusi KKB ini kerusi DAP, kita ada berbincang secara umum dalam mesyuarat Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Keadilan semalam.

“Saya difahamkan ia akan dimuktamadkan dalam masa terdekat dan akan dibawa ke Majlis Presiden PH dan seterusnya ke Majlis Presiden Kerajaan Perpaduan.

“Saya tak pasti (tarikh mesyuarat) cuma akan dibuat dalam masa terdekat atau sebelum hari penamaan calon,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat PKR, di sini, hari ini.

Semalam, MalaysiaGazette melaporkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan pemilihan calon mereka akan dimuktamadkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan PN, petang ini.

Bagaimanapun kata Muhyiddin, calon PN akan diumumkan dalam satu majlis pada 25 April ini.

Sebelum ini, kerusi DUN Kuala Kubu Bharu menjadi kosong susulan kematian Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu.

Dalam PRN15 pada Ogos tahun lepas, PN menang dua dari tiga kerusi dalam Parlimen Hulu Selangor, masing-masing DUN Hulu Bernam dan Batang Kali.

Kuala Kubu Bharu merupakan satu-satunya kerusi dimenangi PH di bawah Parlimen Hulu Selangor setelah penyandangnya mendiang Kee Hiong dari DAP mempertahankan kerusi itu selama penggal ketiga.

Ketika ditanya mengenai senarai nama calon yang disenarai pendek, beliau percaya banyak nama sudah ketahui umum, namun ia masih belum muktamad.

“Saya percaya ada banyak nama yang disebut, di peringkat media pun saya baca dia punya spekulasi.

“Tapi keputusan ini (calon) di tangan DAP sebelum dibincangkan ke peringkat PH dan Kerajaan Perpaduan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette