Wan Mohd Zahari Wan Busu

KUANTAN – Seorang pemandu warga emas serah diri di Balai Polis Trafik Kuantan  semalam selepas video dia memandu secara melawan arus tular di media sosial sejak Sabtu lalu.

Ketua Polis Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, video aksi pemanduan lelaki 71 tahun yang memandu Myvi itu dimuat naik oleh pengguna Facebook ‘Areef Adeeb’ mencetus pelbagai reaksi netizen.

Menurutnya, siasatan yang dijalankan mendapati lelaki berkenaan bersama penumpang yang juga lelaki berumur 78 tahun, mempunyai masalah kesihatan serta tidak lagi kompeten untuk memandu kenderaan.

Dia ditemani waris ketika menyerahkan diri di  Balai Polis Trafik Kuantan.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku jam 11 pagi Jumaat lalu di Jalan Mahkota berhampiran sebuah pasar raya dan pemandu tersebut didapati memandu secara melulu melawan arus dari arah Jalan Mahkota ke arah Jalan Bank.

“Notis saman diberikan Seksyen 79(2) APJ 1987 telah dikeluarkan atas kesalahan tersebut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Wan Zahari menasihatkan orang awam agar tidak melanggar peraturan lalu lintas yang membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.

“Pemilik dan pemandu kenderaan juga hendaklah memastikan tahap kesihatan diri berada dalam keadaan baik sebelum memandu kenderaan,” tambahnya. – MalaysiaGazette