Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa insiden helikopter TLDM- Foto Instagram Sultan Ibrahim

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah amat sedih atas kehilangan wira-wira negara dalam nahas dua helikopter di Lumut, Perak hari ini.

Baginda berdua turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan mendoakan agar roh mereka ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh.

“Saya dan Raja Zarith berasa amat sedih di atas kehilangan wira-wira negara dalam tragedi ini. Al-Fatihah dan salam takziah buat mereka yang telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya. Semoga mereka ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan juga para syuhada,” titah baginda dalam satu hantaran di Instagram.

Yang di-Pertuan Agong juga menitahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjalankan siasatan terperinci bagi mendapatkan maklumat sepenuhnya berhubung kejadian insiden ini.

Dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia bertembung di udara sebelum  terhempas ketika melakukan raptai Perbarisan Hari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ke-90 di Pangkalan Kem TLDM di Lumut.

Tragedi itu mengorbankan seramai 10 kru TLDM. – MalaysiaGazette