KUALA LUMPUR – Ketidakpatuhan Kerajaaan Perpaduan terhadap titah adendum Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-16 agar Datuk Seri Najib Razak menghabiskan baki hukuman pemenjaraan dengan tahanan di rumah adalah suatu pelanggaran serius.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Subang, Datuk Seri Fariz Hazurin Ismail berkata, walaupun perkara itu dipersoalkan pemimpin parti komponen Kerajaan Perpaduan, namun ia semata-mata untuk menggalakkan ketelusan dan akauntibiliti.
“Sebagai rakyat prihatin, Yang Berhormat Dr Muhamad Akmal Saleh mempunyai hak untuk menyoal dan mendapatkan penjelasan sekiranya terdapat percanggahan antara titah YDPA dengan tindakan diambil oleh pihak berkuasa.
“Ini adalah sebahagian daripada proses demokrasi dan pelaksanaan undang-undang harus diperjuangkan untuk menegakkan ketelusan dan keadilan dalam sistem pentadbiran negara.
“Segala tindakan pihak berkuasa mestilah berlandaskan undang-undang dan peraturan sedia ada termasuk titah YDPA. Kritikan dan persoalan ketidakpatuhan titah ini perlu diberi perhatian serius demi memastikan kestabilan dan keharmonian negara,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mahu terlibat dengan perbincangan membabitkan titah tambahan berhubung tahanan di rumah membabitkan bekas Perdana Menteri itu.
Anwar berkata, ini kerana perkara itu merupakan di bawah bidang kuasa Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dan juga melibatkan YDPA dan Raja-Raja Melayu.
Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyokong dakwaan Najib mengenai kewujudan titah adendum YDPA ke-16, supaya bekas Perdana Menteri itu menghabiskan baki hukuman penjara dengan tahanan di rumah.
Timbalan Perdana Menteri itu menyokong dakwaan berkenaan menerusi afidavit yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 April lalu.
Fariz juga berkata, sekiranya titah tambahan YDPA ke-16 itu wujud, bukan satu kesalahan jika Ketua Pergerakan Pemuda UMNO itu mempersoalkan perkara itu dan meminta agar memberi penjelasan sewajarnya.
“Menghormati institusi dan proses undang-undang adalah asas kepada kestabilan dan keadilan dalam sesebuah negara. Jika keputusan YDPA itu diabaikan tanpa alasan munasabah, ia akan menimbulkan keraguan terhadap integriti sistem kehakiman dan integriti pentadbiran negara.
“Jika titah itu tidak dituruti, timbul persoalan tentang kesungguhan parti pemerintah mengawal isu perpaduan dan keharmonian rakyat,” katanya.
Sementara itu, Fariz mengingatkan Ketua Angkatan Muda Keadilan, Adam Adli agar melihat teguran itu dari perspektif yang positif dan bukannya untuk menyerang institusi presiden.
“Saya menghargai pandangan yang diberikan oleh Adam Adli dalam isu ini. Kenyataan saya tidak bermaksud untuk menyerang peribadi mana-mana individu, termasuk presiden parti atau perdana menteri kita.
“Sebaliknya, ia adalah satu bentuk tanggapan terhadap isu-isu semasa yang berkaitan dengan keadilan dan ketelusan dalam sistem pentadbiran negara.
“Memang benar, sebagai individu awam atau orang yang terlibat dalam pentadbiran parti politik, adalah penting untuk mempertimbangkan impak dan kesannya sebelum mengeluarkan kenyataan, sama ada secara peribadi atau rasmi,” katanya.
Dalam masa sama, katanya lagi, beliau dan Dr Akmal bertanggungjawab untuk menyuarakan pendapat serta kebimbangan rakyat, terutamanya golongan muda yang menuntut demokrasi matang.
“Saya percaya untuk membenarkan perbezaan pendapat dan memberi ruang kepada setiap rakyat untuk menyuarakan pandangan masing-masing.
“Dalam konteks ini, kritikan yang dibawa oleh Adam Adli adalah sebahagian daripada proses demokratik tersebut,” katanya lagi. – MalaysiaGazette