Kerajaan Johor mengambil pendekatan melakukan Solat Sunat Istisqa di Empangan Sembrong hari ini bagi memohon hujan berikutan musim kemarau.

KLUANG – Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ)  hari ini melaksanakan Solat Sunat Istisqa di Empangan Sembrong bagi memohon hujan berikutan musim kemarau yang melanda negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama negeri itu, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, kerajaan negeri memandang serius isu kemarau yang berlaku di beberapa tempat dalam negara khususnya di Johor.

“Berdasrkan indeks SPI (Standardized Precipitation Index) terkini yang dikeluarkan Jabatan Meteorlogi Malaysia menerusi Laporan Pemantauan Kemarau Mac 2024 merekodkan bacaan indeks SPI di Stesen Meteorlogi Kluang berada pada paras sederhana kering dan sangat kering.

“Sehubungan ini kerajaan negeri mengambil pendekatan untuk melakukan solat sunat meminta hujan dan khutbah khas di setiap daerah agar kemarau yang melanda segera berakhir,” katanya dalam satu kenyataan.

Solat Sunat Istisqa diimamkan oleh Imam Besar Johor, Makhadzir Abdan.

Sebelum ini, paras takungan air di tiga empangan di Johor dikesan menghampiri paras kritikal berikutan cuaca panas sejak Mac dan dijangka dapat bertahan selama 55 hari sekiranya tiada hujan hingga 30 April ini.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastuktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, tiga empangan itu ialah Empangan Sembrong di Ayer Hitam, Empangan Bekok di daerah Segamat, dan Empangan Machap di Simpang Renggam. – MalaysiaGazette