PUTRAJAYA – Kadar membaca dalam kalangan rakyat Malaysia meningkat secara konsisten, kata Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang.

Beliau berkata, Kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia 2022/2023 yang dijalankan oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) mendapati peningkatan ketara iaitu dari dua naskhah buku setahun pada 2005, 15 naskhah setahun pada 2014.

Katanya, bagi tahun 2022 hingga 2023 terus meningkat kepada 24 naskhah setahun.

“Daripada kajian itu kadar membaca meningkat, kita berharap akan menjangkau 100 naskah setahun,” katanya selepas majlis pelancaran Program Jom Baca 10 Minit anjuran PNM, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Presint 9(2), di sini, hari ini.

Program tersebut merupakan inisiatif menggalakkan amalan membaca bersempena dengan Sambutan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia yang disambut pada 23 April.

Sementara itu, Aaron mengumumkan Karnival Baca Perdana yang akan berlangsung Julai ini, bertujuan untuk menghidupkan semula Kempen Bulan Membaca Kebangsaan.

“Karnival Baca Perdana program julung kali diadakan amat menarik bagi saya, harap ia diadakan dengan jayanya.

“Kita juga banyak program lain untuk galakkan membaca oleh PNM seperti Semarak Perpaduan, selain puisi, Kem Tulisan Jawi,” katanya.

Aaron dalam ucapan perasmiannya berkata, sebanyak 73,406 Program Galakan Membaca telah dilaksanakan pada tahun lalu dengan penyertaan 2.3 juga orang daripada pelbagai peringkat umur. – MalaysiaGazette