Pesara Kerajaan, Mohd Termizi Abdul Ghani, 68, tidak dapat menahan sebak menatap gambar anak sulungnya Allahyarham Mohd Sharizan, 41, yang maut dalam nahas dua helikopter di Pangkalan TLDM Lumut, pagi tadi, ketika ditemui dikediamannya di Lekir, Sitiawan. Foto, MOHAMAD HAFIZI MOHD SAID.

LUMUT – Hati bapa mana tidak luluh apabila menerima ucapan takziah bertalu-talu di telefon bimbit saat berharap agar anak sulungnya selamat dalam nahas membabitkan dua buah helikopter di Lumut pagi tadi.

Bagaimanapun, Mohd Termizi Abdul Ghani, 68, reda dengan pemergian anaknya itu memandangkan Pegawai Waran II, Mohd Sharizan, 41, meninggal dunia ketika menjalankan tugas sebagai seorang tentera.

Bagi pesara kerajaan itu, ketika kejadian, dia berada di Ipoh bagi menyelesaikan urusannya namun menerima panggilan daripada salah seorang anak lelakinya memaklumkan berlaku nahas helikopter melibatkan Mohd Sharizan.

“Saya dapat tahu dalam pukul 10 pagi masa itu ke Ipoh atas urusan kemudian anak dari Kuala Lumpur telefon bagi tahu Along terlibat dalam heli crash dan terus saya pulang dengan segera.

“Dalam perjalanan balik saya fikir mungkin terhempas ringan sahaja jadi saya anggap tiada apa tetapi tak lama selepas itu mesej masuk bertalu-talu ramai ucap takziah, luluh hati saya,” katanya.

Allahyarham Mohd Sharizan

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya di Taman Bunga Tanjung, Lekir, Sitiawan hari ini.

Menurut Mohd Termizi, setibanya di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut dia bersama isteri Hasnah Yasin, 67, serta waris mangsa yang lain diberi taklimat sebelum dipanggil untuk membuat pengesahan jenazah.

Ujar beliau, dia kemudiannya memujuk isteri untuk masuk bagi membuat pengecaman jenazah Mohd Sharizan dan melihat muka anak sulungnya itu tenang seperti sedang tidur.

“Saya dapat menatap muka anak sulung saya sebanyak dua kali, dan alhamdulillah muka sempurna serta tenang seperti sedang tidur.

“Kali pertama saya masuk untuk buat pengecaman adalah bersama isteri selepas dipujuk dan kali kedia bersama anak saya yang lain.

“Doktor ada maklumkan keadaan jenazah sempurna cuma kaki dan tangan sahaja terputus dan jenazah akan dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk bedah siasat,” katanya.

Pesara Kerajaan, Mohd Termizi Abdul Ghani, 68, menunjukkan gambar anak sulungnya Allahyarham Mohd Sharizan, 41, yang maut dalam nahas dua helikopter di Pangkalan TLDM Lumut, pagi tadi, ketika ditemui dikediamannya di Lekir, Sitiawan. Foto, MOHAMAD HAFIZI MOHD SAID.

Mohd Termizi berkata, Allahyarham Mohd Sharizan meninggalkan seorang seorang balu, Noor Ain Mohammad Ariffin, 41, bersama tiga anak berusia 15 hingga 21 tahun.

Beliau berkata, jenazah anaknya itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 10 Lekir selepas segala urusan jenzah diselesaikan.

Terdahulu media melaporkan, 10 mangsa terdiri daripada tujuh lelaki dan tiga wanita yang merupakan kru dua buah helikopter HOM dan Fennec TLDM disahkan terkorban dalam kejadian dua pesawat bertembung di ruang udara dan terhempas di Lumut pagi tadi.

Menurut TLDM dalam satu kenyataan, pesawat yang terhempas adalah Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) TLDM FENNEC TLDM semasa raptai Perbarisan Hari TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut pukul 9.32 pagi tadi.

“Insiden ini melibatkan seramai 10 orang iaitu masing-masing 7 kru HOM TLDM dan 3 kru Fennec TLDM.

“Kesemua mangsa disahkan terkorban di tempat kejadian dan dihantar ke Hospital Angkatan Tentera Pangkalan TLDM Lumut untuk proses pengecaman,” kata kenyataan itu. – MalaysiaGazette