Gambar mangsa nahas kemalangan dua buah helikopter di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang tular di media sosial di mana Allahyarham Noor Rahiza Anuar (tengah). Foto, Media Sosial.

LUMUT – “Kawan-kawan ma (ibu) suruh ambil adik, mereka cakap ma dah tak ada”,

Itu kata anak salah seorang mangsa nahas dua buah helikopter di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pagi tadi.

Itu situasi yang diceritakan oleh salah seorang guru Pusat Tunas Asuhan Islam (PASTI) Al-Hijrah, Teluk Muroh di sini ketika anak Allahyarham Noor Rahiza Anuar hadir ke pusat asuhan bagi membawa pulang adik bongsunya Nur Qistina Afiya, 6.

Guru yang ingin dikenali sebagai Ila itu berkata, pada mulanya dia bersama guru-guru lain tidak mengetahui nahas dua buah helikopter di Pangkalan TLDM sehingga anak Allahyarham Noor Rahiza hadir ke pusat pendidikan pra sekolah berkenaan.

“Kami terkejut apabila anak sulung arwah datang dengan keadaan mengeletar memaklumkan hendak ambil adik dan bila tanya dia cakap ‘kawan ma suruh ambil adik, ma dah tak da’.

“Kami pun terus memanggil Nur Qistina sambil guru kelasnya bertanya kepada kakak beliau yang memaklumkan ibu mereka terkorban dalam nahas helikopter,” katanya ketika ditemui di Pasti berkenaan pada Isnin.

Ila berkata, sejurus melihat video nahas yang tular di sosial media dia terus mengalirkan air mata kerana tidak menyangka wajah yang baru sahaja dilihat semalam ketika menghantar Nur Qistina ke pusat asuhan berkenaan.

“Baru semalam saya lihat arwah tersenyum menghantar anak bongsunya ke PASTI dan hari ini mendengar berita menyayat hati, saya masih tidak boleh lupa wajah beliau.

“Selain suaminya, arwah juga sau selalu menghantar dan mengambil anaknya yang sudah dua tahun belajar di PASTI Al-Hijrah ini jadi kami memang mengenalinya,” katanya.

Terdahulu media melaporkan, 10 mangsa terdiridi daripada tujuh lelaki dan tiga wanita yang merupakan kru dua buah helikopter HOM dan Fennec TLDM disahkan terkorban dalam kejadian dua pesawat bertembung di ruang udara dan terhempas di Lumut pagi tadi.

Menurut TLDM dalam satu kenyataan, pesawat yang terhempas adalah Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) TLDM FENNEC TLDM semasa raptai Perbarisan Hari TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut pada jam 9.32 pagi tadi.

“Insiden ini melibatkan seramai 10 orang iaitu masing-masing 7 kru HOM TLDM dan 3 kru Fennec TLDM.

“Kesemua mangsa disahkan terkorban di tempat kejadian dan dihantar ke Hospital Angkatan Tentera Pangkalan TLDM Lumut untuk proses pengecaman,” kata kenyataan itu. – MalaysiaGazette