YAN – Bintara Muda TNL Noor Rahiza Anuar yang terkorban dalam tragedi dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bertembung di Lumut, pagi tadi teruja menyediakan persiapan Aidilfitri baru-baru ini, malah banyak merakamkan video pada hari raya.
Abang Allahyarham, Abdul Latif, 46, berkata Noor Rahiza, 39, yang merupakan anak ketiga daripada lima beradik turut menempah langsir baharu berwarna putih dan keemasan.
“Kali terakhir saya jumpa dia semasa dia pulang beraya (di rumah keluarga) dan dia memang nampak teruja mahu pasang langsir baharu. Semasa orang datang pasang langsir di rumah pun, dia sibuk rakam video.
“Dia juga merakam video semasa semua ahli keluarga berkumpul untuk bersalam-salaman. Kalau diikutkan macam raya tahun sebelum ini, dia tidak rajin macam itu, mungkin ia kenangan yang dia mahu kami simpan,” katanya yang ditemui pemberita di rumah keluarganya di Taman Perumahan Awam 2, dekat sini hari ini.
Menurut Abdul Latif dia dimaklumkan tentang kejadian itu daripada suami Noor Rahiza, Azinor Azizan yang menghubunginya kira-kira 10 pagi tadi sekali gus memintanya supaya segera datang ke Perak.
“Adik ipar dengan suara sebak minta saya datang ke Perak dan maklumkan adik (Noor Rahiza) jatuh helikopter, tetapi saya tidak boleh ke sana kerana perlu menjaga isteri yang kurang sihat. Saya minta dua lagi adik lelaki untuk ke sana.
“Memang saya sangat terkejut, kerana kami baharu kehilangan ibu pada Julai tahun lepas. Memang berat untuk maklumkan perkara itu kepada ayah kerana dia kurang sihat dan menghidap sakit jantung, apabila dia tahu tadi dia termenung dan bergenang air mata,” katanya.
Beliau berkata Noor Rahiza yang mempunyai empat anak berusia antara enam hingga 16 tahun itu amat meminati bidang ketenteraan dan telah beberapa kali mengikuti sesi temu duga sebelum diterima menyertai TLDM.
“Hari raya kedua dia sudah pulang ke Lumut dan dia maklumkan dia sibuk dengan raptai sempena sambutan itu (Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90). Pada dua, tiga hari lepas saya secara tidak sengaja tertekan nombol telefonnya dan sempat mendengar suaranya dan itu merupakan kali terakhir dia bergurau dengan saya.
“Kami reda dan sekarang masih menunggu proses seterusnya. Apabila semua sudah selesai di Perak, arwah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Ruat, di sini berhampiran dengan kubur arwah ibu,” katanya.
Tragedi pada 9.32 pagi itu menyaksikan 10 anggota TLDM terkorban termasuk Noor Rahiza yang merupakan kru daripada Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139). – BERNAMA