Suspek berusia 31 tahun yang mempunyai tujuh rekod jenayah lampau direman selama enam hari di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka hari ini sehingga 29 April ini.

MELAKA – Lelaki yang didakwa menyamar sebagai penghantar makanan (p-hailing) untuk melakukan jenayah ragut sebelum videonya dicekup polis tular petang semalam disahkan mempunyai tujuh rekod jenayah lampau termasuk lima kes ragut tahun ini.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, dengan penahanan suspek berusia 31 tahun itu, polis berjaya menyelesaikan lima kes ragut di sekitar daerah Melaka Tengah sepanjang tahun ini membabitkan nilai keseluruhan lebih RM10,000.

“Ketika ditahan, polis turut berjaya merampas beg sandang yang dipercayai diragut daripada mangsa lelaki berusia 71 tahun sebelum itu mengandungi wang tunai dan telefon bimbit keseluruhannya dianggarkan bernilai RM2,500.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek yang tidak bekerja dan masih bujang positif dadah jenis Nimetazepam, malah semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, permohonan reman terhadap suspek dibuat di Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini dan mahkamah membenarkan suspek direman selama enam hari sehingga 29 April ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana melakukan jenayah ragut yang memperuntukkan hukuman penjara sehongga 14 tahun atau sebat jika sabit kesalahan,” tambahnya.

Terdahulu, MalaysiaGazette hari ini melaporkan kepantasan sekumpulan ‘abang Food Panda’ dan orang awam membanteras jenayah berhasil apabila berjaya membantu polis menangkap seorang peragut lelaki disyaki menyamar sebagai penghantar makanan di sini petang semalam.

Kejadian ragut itu dipercayai berlaku di sebuah pasar raya di Bachang sebelum disedari sekumpulan penghantar makanan Food Panda.

Berdasarkan video tular berdurasi 46 saat menunjukkan suspek berbaju hitam kemudian diserahkan kepada pihak polis yang tiba di lokasi kejadian.

Perbuatan jenayah lelaki itu yang menyamar sebagai penghantar makanan Food Panda seperti dakwaan di dalam video turut mencetuskan kemarahan penghantar makanan lain kerana telah mencemarkan imej dan nama baik mereka. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast