KUALA LUMPUR- Insiden dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terhempas mungkin disebabkan pelanggaran titik kritikal pada struktur pesawat berkenaan, kata pakar penerbangan Prof Madya Mejar Dr Mohd Harridon Mohamed Suffian.
Ketua Unit Penerbangan Mencari dan Menyelamat Institut Teknologi Penerbangan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) itu, berkata jika titik kritikal sesebuah pesawat terjejas atas faktor tertentu, maka ia akan mengakibatkan struktur pesawat merekah secara cepat sekali gus menyebabkan ia kehilangan aerodinamik.
“Setiap pesawat ada titik kritikal, kalau titik kritikal sudah merekah dan merebak ia akan menyebabkan strukturnya merekah dengan cepat dan disebabkan itu, kehilangan aerodinamik. Jadi, kemungkinan (pelanggaran kedua-dua pesawat) terkena titik kritikal (pesawat) terbabit.
“Sebab itu, ia mungkin tidak dapat melakukan putaran auto. Selalunya, helikopter kalau kehilangan enjin boleh melakukan putaran auto untuk mendarat dengan selamat… tetapi mungkin terkena bahagian kritikal (pesawat itu) di mana ia mengurangkan kadar aerodinamik (pesawat) secara tinggi,” katanya dalam program Malaysia Petang Ini terbitan Bernama TV hari ini.
Beliau juga menjelaskan, apabila ketiadaan optimum aerodinamik pada helikopter mahupun pesawat yang lain maka ia akan mengakibatkan sesebuah pesawat tidak dapat melakukan penerbangan dengan baik sehingga boleh terhempas.
“Disebabkan tiada aerodinamik optimum (penerbangan) pesawat akan melencong ke kiri dan kanan seterusnya tidak dapat terbang dengan trajektori yang optimum itu dan menyebabkan ia terhempas selepas itu,” katanya.
Terdahulu, TLDM mengesahkan 10 anggotanya terkorban dalam tragedi dua helikopter terhempas yang membabitkan tujuh kru Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan tiga kru helikopter Fennec TLDM.
Mengenai penubuhan Lembaga Siasatan bagi mengenal pasti punca nahas itu, Mohd Harridon menjangkakan laporan akan dikeluarkan secara berfasa iaitu laporan awal dan laporan komprehensif.
“Mungkin dalam fasa pertama akan ada maklumat am atau beberapa maklumat sulit tentang apa yang berlaku (nahas pesawat) dan tentang anggota kru seperti apakah perilaku kru ketika itu.
“Mereka akan ke lokasi nahas bagi mengutip serpihan atau komponen penting untuk dibawa ke makmal untuk mereka tahu apakah intensiti nahas semasa di udara dan melalui kaedah ini, mereka boleh kemukakan laporan awal,” katanya.
Mohd Harridon juga berkata, laporan komprehensif pula akan membabitkan pihak pengilang peralatan asal (OEM) yang akan menilai secara lebih lanjut data daripada makmal terbabit.
Selain itu, beliau berkata, Lembaga Siasatan perlu menyiasat secara mendalam dengan mengambil kira pelbagai faktor termasuk keadaan udara dan cuaca semasa insiden berlaku.
Beliau turut mencadangkan Lembaga Siasatan meneliti buku log kedua-dua pesawat untuk melihat sama ada wujud anamolies bagi aspek teknikal pada kedua-dua pesawat dalam penerbangan terdahulu.
“Selalunya helikopter sebegini ada sistem pemantauan penerbangan yang memantau keadaan pesawat yang dilakukan oleh bahagian kejuruteraan, mereka akan kutip data selepas penerbangan dan mereka akan plot trend keadaan pesawat kemudian mereka boleh kemukakan solusi berhubung penyelenggaraan bagi memperbaiki dan membaik pulih pesawat itu,” katanya. – BERNAMA