JOHOR BAHRU – Seorang lelaki terkejut apabila dia diugut lebih ah long lebih 10 kali bagi melangsaikan hutang bapanya berjumlah RM100,000 selepas terputus hubungan dengan bapa beliau 10 tahun lalu.
Mangsa Loo Jiw Tao, 24, berkata, hidupnya kini dalam ketakutan kerana sering kali diugut ah long dan dia turut bimbang dengan keselamatan ibunya yang kini tinggal bersama beliau.
“Saya terima ugutan sejak minggu lalu yang memaksa saya untuk membayar semua hutang bapa saya. Dalam sehari hampir 30 panggilan daripada mereka (along) termasuk aplikasi whatsup saya terima.
“Apa yang buat saya risau ialah keadaan ibu berusia 55 tahun yang kini bawah jagaan saya, walaupun ah long belum bertindak luar kawalan tetapi kini mereka telah mula ugut mahu datang ke bengkel saya yang terletak di Mount Asutin dan rumah saya,” katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika ditemui media di Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya, Michael Mok Meng Haw di Taman Johor Jaya, di sini, hari ini.
Menurut Jia Tao, ugutan diterima bukan hanya melalui mesej tetapi gambar beliau turut disunting dan dimuat naik dalam laman Facebook yang bertujuan untuk memalukannya.
“Saya tidak tahu berapa jumlah semua hutang yang telah bapa saya buat tetapi saya diberitahu dianggarkan lebih RM100,000,” katanya.
Jia Tao memberitahu, walaupun hidupnya kini berdepan tekanan dan ketakutan, beliau tidak akan membayar hutang berkenaan memandangkan beliau tiada kaitan dalam perkara itu.
“Saya tiada pilihan lain dan mengharapkan pihak polis dapat membantu dalam masalah yang kini terpaksa saya hadapi,” katanya sambil menambah laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam pada Khamis lalu.
Menurut pemilik bengkel itu, beliau telah berusaha menghubungi bapanya bagi memaklumkan perkara berkenaan.
Kata Jia Tao, bapanya mengaku membuat pinjaman dan memaklumkan tidak mampu membayarnya kerana faedah yang terlalu tinggi.
Sementara itu, Meng Haw yang juga Setiausaha Cawangan DAP Johor Jaya berharap pihak polis akan melakukan siasatan berhubung laporan berkenaan dan meningkatkan rondaan di kediaman Jia Tao. – MalaysiaGazette