KUALA LUMPUR – Gabungan Persatuan Perfileman Malaysia (Gafema) menyarankan agar Kementerian Komunikasi memberi taklimat terperinci mengenai cadangan jaringan keselamatan sosial kepada penggiat seni tempatan bagi memastikan ia tidak tersasar daripada tujuan asal seperti yang pernah dicadangkan kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Presidennya, Pansha berkata, inisiatif itu bukan hanya untuk tahun pertama dan 4,500 penggiat seni malah untuk keseluruhan penggiat seni yang terlibat dalam industri kreatif.

“Finas dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) perlu memperhalusi cadangan itu sebelum dilaksanakan agar mempunyai kesinambungan pada masa akan datang.

“Kefahaman caruman Perkeso menjadi prasyarat wajib melalui kelulusan Sijil Perakuan Penggambaran (SPP) hanya melibatkan penggiat seni yang terlibat dengan penggambaran sahaja.

“Sedangkan ada kategori lain yang juga perlu dilindungi dan industri juga memerlukan satu Pangkalan Data Setempat Industri sebagai tempat rujukan secara dalam talian bagi kemudahan rujukan Finas/Penerbit/Penggiat Seni menyemak tarikh luput tahunan caruman Perkeso penggiat seni pada masa akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pansha berkata, penjelasan terperinci serta perbincangan lanjut perlu diadakan antara Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) bersama pemegang taruh industri agar pelaksanaannya tidak membebankan pihak penerbit selaku majikan kepada industri dan penguat kuasa melalui SPP.

“Gafema yakin dan percaya, sekiranya perkara ini dapat dilaksanakan kepada semua penggiat seni dengan kerjasama persatuan-persatuan di bawah Gafema, ini akan memberi fokus yang lebih strategik, teratur dan tersusun selain memberi kesan positif memperkasakan kebajikan serta merangsang pertumbuhan industri kreatif dalam negara,” tambahnya.

Kerajaan telah mengumumkan peruntukan dana sebanyak RM104,850 bagi penggiat seni mencarum dalam Program Kerjasama Skim Keselamatan Sosial
Pekerjaan Sendiri (SKSPS).

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, melalui inisiatif ini, 90 peratus caruman Perkeso untuk penggiat seni ditanggung oleh kerajaan, manakala baki 10 peratus lagi ditanggung oleh Finas. – MalaysiaGazette