Universiti Malaya

KUALA LUMPUR – Mahasiswa Progresif Universiti Malaya menyifatkan tindakan t Institut Pengajian China dan Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik, Fakulti Sastera dan Sains Sosial menjemput Bruce Gilley sebagai tidak bertanggungjawab dilakukan oleh ahli akademik dan pentadbiran di universiti nombor 1 di Malaysia.

Menurutnya, Gilley, seorang ahli akademik Pro-Zionis yang secara terang-terangan pendukung negara haram Israel yang telah pun melaksanakan pembunuhan beramai-ramai ke atas Gaza, Palestin berpuluh tahun lamanya.

“Apa yang mengejutkan apabila didapati bahawa beliau telah dijemput oleh sebuah jabatan daripada Fakulti Sastera dan Sains Sosial untuk memberikan syarahan sebagai pensyarah pelawat.

“Apa yang lebih menyedihkan apabila Gilley secara terbuka sewaktu syarahan tersebut mempersenda pendirian Malaysia dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin menuntut kemerdekan negara mereka.

“Apakah sebenarnya yang cuba ingin disampaikan oleh pihak yang terlibat daripada Fakulti Sastera dan Sains Sosial? Adakah mereka cuba memberitahu bahawa mereka tidak menyokong tindakan Perdana Menteri ke serata dunia untuk menyokong perjuangan
rakyat Palestin menuntut kemerdekaan?,” soalnya.

Justeru, pentadbiran Universiti Malaya wajar mengambil tindakan dan memberi amaran terakhir kepada mana-mana individu yang menggunakan prinsip kebebasan akademik dengan sengaja cuba menyentuh perkara-perkara sensitif yang dekat di hati rakyat Malaysia.

Sementara itu, Neo-Siwa berkata, pihaknya akan menilai penjelasan Universiti Malaya dan tindakan seterusnya akan diambil.

Menyifatkan Gilley sebagai tidak sensitif dan biadap apabila pensyarah itu mengeluarkan kenyataan penghinaan terhadap Malaysia, presidennya, Muhammad Alif Haiqal Amran mengecam tindakan Institut Pengajian China Universiti Malaya dan Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik, Fakulti Sastera dan Sains Sosial yang menjemput individu secara terang-terangan menyokong rejim zionis israel dalam program anjuran mereka.

Menurutnya, Neo-Siswa turut bersedia untuk membuat demonstrasi untuk membangkitkan isu ini.

“Tegas kami menyatakan bahawa isu ini merupakan isu yang serius dan melibatkan seluruh mahasiswa bahkan rakyat Malaysia sebagai penyokong yang berdiri utuh di belakang negara Palestin,” ujarnya. – MalaysiaGazette