Pengerusi Barisan Nasional Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin bercakap pada media ketika Majlis Pengumuman Calon PRK Kuala Kubu Baharu di Pusat Khidmat DUN Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor. Foto SYADILA AMARI, 24 APRIL 2024.

HULU SELANGOR – UMNO Selangor akan menggerakkan kesemua 22 bahagiannya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu dengan memberi tumpuan kepada lapan pusat daerah mengundi (PDM).

Pengerusi Badan Perhubungannya, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, ini kerana kebanyakan pengundi khususnya ahli UMNO berada di lapan PDM tersebut yang berjumlah hampir 4,500 orang.

“Saya telah memutuskan untuk menggerakkan kesemua bahagian dalam Selangor untuk memberi tumpuan kepada lapan PDM yang mana majoritinya adalah pengundi Melayu dan kita akan berkampung di situ.

“Setiap jentera sama ada dewasa, wanita, pemuda dan puteri akan menyantuni setiap pengundi terutamanya ahli UMNO terlebih dahulu yang berjumlah hampir 4,500 orang yang berada dalam DUN Kuala Kubu Bharu.

“Itu merupakan fokus utama agar ahli-ahli UMNO ini dapat kita jelaskan kenapa dan mengapa calon Kerajaan Perpaduan itu mesti kita menangkan pada 11 Mei nanti,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas Majlis Pengumuman Calon Perpaduan PRK DUN Kuala Kubu Bharu malam tadi.

Terdahulu Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke mengumumkan Setiausaha Akhbar kepada Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Pang Sock Tao sebagai calon Perpaduan dalam PRK DUN Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei ini.

Ketika ditanya mengenai calon Perpaduan itu, Megat Zulkarnain percaya dengan pendidikan, pengalaman politik serta pernah berkhidmat dengan dua kementerian sebelum ini, Sock Tao mampu berkhidmat kepada rakyat khususnya golongan muda.

“Ini adalah calon Perpaduan yang saya fikir amat bertepatan, seorang anak muda berumur 31 tahun, mempunyai pendidikan tinggi dan ada pengalaman yang luas dalam bidang politik dan telah berkhidmat di dua kementerian yang berbeza.

“Pastinya pengalaman yang beliau ada apatah lagi seorang anak muda saya percaya beliau boleh memberikan yang terbaik buat rakyat yang ada dalam DUN Kuala Kubu Bharu.

“Dalam keadaan sekarang suara generasi muda, mereka inginkan calon-calon wakil rakyat itu mestilah dalam kalangan mereka yang mudah didekati, saya percaya beliau boleh memberikan perkhidmatan baik,” katanya lagi. – MalaysiaGazette