Dr Zulkarami Berahim menunjukkan tali air sebagai tempat takungan air untuk disalurkan ke bendang padi yang kering akibat kemarau yang berlaku.

KUALA LUMPUR – Sekumpulan penyelidik Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan (ITAFoS) dan Fakulti Pertanian (FP) Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menuai padi varieti baharu rintang kemarau dan berkualiti tinggi yang dinamakan benih Climate Ready (CR) berskala besar di bendang Kampung Muring, Kelantan, semalam.

Penyelidiknya, Dr Zulkarami Berahim berkata. projek kajian tersebut merupakan projek rintis pertama benih CR yang dituai dengan skala besar iaitu seluas enam hektar dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Kemubu (KADA).

“Pembangunan tanaman padi iklim tersedia untuk jaminan makanan di Malaysia memberi tumpuan bagi menangani isu perubahan iklim bagi tanaman padi.

“Kajian asas bagi menghasilkan varieti ini telah bermula sejak 2013 yang diketuai oleh Prof. Dr. Mohd Razi Ismail melalui siri penyelidikan asas yang dijalankan di UPM dan juga makmal Lancaster Environment Centre di Universiti Lancaster England,” katanya.

Tambahnya lagi, benih CR sangat tahan lasak, kering dan mampu hidup dalam cuaca panas melampau seperti yang berlaku di sini.

“Jika kita lihat tali air di sini kering dan tiada air takungan untuk disalurkan ke kawasan padi namun padi yang ditanam tetap masih hidup dan subur, katanya.

Penyelidikan ini telah di biayai sepenuhnya oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui program Skim Geran Penyelidikan Jangka Panjang untuk jaminan makanan di Malaysia yang memberi tumpuan menangani isu perubahan iklim bagi tanaman padi.

Sementara itu, ketua projek Prof Dr Mohd Razi Ismail berkata, varieti benih ini dijangka sedia untuk dipasarkan kepada petani pada tahun hadapan kerana perlu melalui prosedur untuk mendapatkan pengesahan varieti di bawah skim subsidi benih padi sah oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi pengesahan varieti padi baharu.

“Varieti baharu padi ini masih diperingkat kajian penentusahaan setempat (LVT) di tujuh jelapang padi utama Semenanjung Malaysia
termasuk di kawasan luar jelapang dibawah pengurusan Jabatan Pertanian Malaysia.

“Kajian penentuusahaan setempat dilakukan untuk mendapat pengesahan dari pihak Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bahawa varieti padi kita ini setanding dengan varieti sedia ada,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi KADA, Muhammad Husin berkata kerjasama antara pihak UPM dan pesawah di Kelantan memberi nafas baharu kepada para pesawah untuk mengusahakan tanaman padi seterusnya menyokong agenda keterjaminan makanan.

“Saya amat bersyukur dan seronok melihat kepada padi yang kuning penuh dan hidup dalam keadaan subur walaupun tali air kering hasil penanaman padi varieti CR ini.

“Saya yakin hasil untuk benih padi tahan kemarau ini dapat membantu petani hadapi kemarau,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast