Onn Hafiz Ghazi

JOHOR BAHRU – tiada kasino akan dibuka atau beroperasi di Forest City mahupun di Johor, kata Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Malah, katanya, Kerajaan Negeri yakin Forest City akan diberikan nafas baru dan kegiatan ekonomi akan bertambah rancak dengan pembangunan Zon Kewangan Khas (SFZ) dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

“Semua sedia maklum bahawa Kerajaan Negeri dengan sokongan Kerajaan Persekutuan sedang giat berusaha untuk merancak dan mempertingkatkan ekonomi Johor agar memberikan impak positif seperti peluang pekerjaan berkualiti dan berkemahiran tinggi buat Bangsa Johor.

“Justeru, khabar angin yang tular ini dilihat mempunyai unsur sabotaj dan berniat jahat mencemar imej Forest City dan Johor secara keseluruhannya,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas laporan Bloomberg bahawa Malaysia sedang berunding dengan beberapa taikun untuk menubuhkan kasino di Forest City – projek bernilai AS$100 bilion (RM480 bilion) di Johor yang sedang berdepan kemungkinan menjadi gajah putih.

Portal perniagaan itu memetik sumber yang menyebut Perdana Menteri berjumpa dengan pengasas Berjaya Corp, Vincent Tan dan Lim Kok Thay dari Kumpulan Genting dalam satu mesyuarat makan tengah hari minggu lalu untuk membincangkan perkara berkenaan.

Mengulas lanjut, Onn Hafiz berkata, Kerajaan Negeri tidak pernah menerima jemputan bagi membincangkan perbincangan perkara itu.

“Apatah lagi terlibat atau dirujuk mengenainya. Kerajaan Negeri juga tidak menerima sebarang cadangan mahupun menghadiri mana-mana mesyuarat yang membincangkan perkara yang sama,” ujarnya.

Menurut beliau, sejarah membuktikan sejak zaman pemerintahan Almarhum Sultan Sir Ibrahim lagi, tiga kasino di Johor telah ditutup.

Tambahnya, Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim juga telah bertitah bahawa baginda tidak membenarkan pembukaan kasino di negeri tersebut, sekali gus menunjukkan pendirian Johor berhubung perkara itu.

Berikutan itu, beliau berharap isu itu tidak dipanjang dan dimomokkan sehingga menjejaskan kerukunan dan nama baik negeri dan negara serta keharmonian masyarakat pelbagai kaum. – MalaysiaGazette