SHAH ALAM – Selepas penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil Kuala Kubu Baharu (PRK KKB) Sabtu lalu sehingga kini kempen berlangsung lancar.
Timbalan Ketua Polis Selangor berkata, Datuk S Sasikala Devi berkata, setakat ini tidak ada laporan polis dibuat berhubung kempen yang berlangsung sejak beberapa hari ini.
“Setakat ini kempen berjalan lancar dan baik, tidak ada kekecohan. Setakat ini tidak ada masalah semua berlaku (kempen) dengan baik,” katanya ketika ditemui di Mes Pegawai di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Selangor, di sini, hari ini.
Sebelum ini beliau berkata, seramai 642 pegawai dan anggota polis ditugaskan bagi memastikan kelancaran PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut.
Dalam pada itu, Sasikala mengingatkan calon dan parti yang bertanding PRK KKB supaya tidak menyentuh isu berkaitan agama, kaum dan institusi diraja (3R).
“Berkempenlah secara berhemah, profesional dan tidak melanggar apa-apa peraturan dan undang-undang supaya semua rasa aman dan tenteram jadi kawalan pun menjadi senang,” ujarnya,
PRK KKB menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan calon Bebas.
PH mempertaruhkan Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Pang Sock Tao manakala Perikatan Nasional (PN) menampilkan pemangku Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut.
Parti Rakyat Malaysia (PRM) diwakili Hafizah Zainuddin selain Nyau Ke Xin bertanding atas tiket Bebas. – MalaysiaGazette