Kelihatan dua orang pelanggan menikmati hidangan Kentucky Fried Chicken (KFC) ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette .Restoran rangkaian makanan segera memaklumkan kenaikan harga hidangan yang disediakan di KFC baru-baru ini. foto AFFAN FAUZI, 27 DISEMBER 2018

KUALA LUMPUR – QSR Brands (M) Holdings Bhd yang memegang francais KFC Malaysia mengakui telah menutup cawangan rangkaian makanan segera buat sementara waktu dan memindahkan pekerja yang terjejas ke tempat lain.

Tindakan yang diambil itu adalah langkah proaktif sebagai tindak balas kepada keadaan ekonomi mencabar dan sebagai cara untuk menguruskan peningkatan kos perniagaan, selain memberi tumpuan kepada zon perdagangan tinggi.

“Pekerja dari cawangan yang terjejas telah ditawarkan peluang untuk berpindah ke kedai yang beroperasi sebagai sebahagian daripada strategi taktikal untuk mengoptimumkan sumber dalam zon perdagangan dengan penglibatan pelanggan yang lebih tinggi.

“Menyumbang secara positif kepada masyarakat Malaysia, memelihara kecintaan jenama terhadap KFC dan melindungi pekerja jenama itu semuanya menjadi keutamaan kepada organisasi,” katanya.

Dalam kenyataan, QSR Brands bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah cawangan KFC Malaysia yang telah ditutup buat sementara waktu dan bilangan pekerja yang terjejas.

Bagaimanapun, syarikat itu berkata, KFC Malaysia telah menyumbang secara positif terhadap ekonomi Malaysia melalui jaminan pekerjaan untuk 18,000 orang di Malaysia dengan kra-kira 85 peratus adalah petugas Muslim.

QSR Brands juga menjadi antara pembayar cukai terbesar di Malaysia dan berbangga kerana dapat memberi kembali kepada masyarakat melalui KFC Add Hope dan Dana Zakat Wakalah.

“Kami amat percaya rakyat kami akan mengiktiraf kehadiran kami, keikhlasan kami dan kerja keras kami dalam menyumbang kepada ekosistem Malaysia,” katanya.

Sebuah akhbar berbahasa Cina, Nanyang Siang Pau melaporkan, QSR Brands (M) Holdings Bhd menutup sementara waktu lebih 100 cawangan KFC di seluruh Malaysia ekoran gerakan boikot yang berlangsung hampir setengah tahun.

Menjelang petang 27 April, sudah ada 108 daripada 600 cawangan telah menghentikan operasi buat sementara waktu, lapor portal tersebut.

Kelantan mencatatkan angka paling tinggi dengan hampir 80 peratus atau sehingga 21 cawangan ditutup buat sementara waktu.- MalaysiaGazette