JOHOR BAHRU – Ahli sindiket pelaburan tidak wujud menggunakan ‘skrip mesra’ bagi memperdaya mangsa sebelum melesapkan wang dipatahkan polis menerusi serbuan pada 25 April lalu.
Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, ketika operasi pihaknya turut menemui ‘skrip mesra’ yang digunakan operator sindiket bagi ‘memancing’ mangsa untuk menyertai pelaburan.
“Skrip dalam Bahasa Inggeris Inggeris dan Mandarin itu bertujuan bagi meraih keyakinan mangsa sebelum memujuk mereka bagi membuat pelaburan serta diberikan panduan tertentu,” katanya
“Antara ayat-ayat manis itu seperti how are you, I think I’m in love with u, I can’t love one more than you bagi menarik perhatian mangsa untuk membuat transaksi wang,” katanya dalam sidang media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hari ini.
Menurut Kumar, sindiket berkenaan dikenal pasti aktif menjalankan aktiviti itu sejak dua bulan lalu.
“Serbuan dan pemeriksaan dilakukan terhadap tiga unit premis kediaman di kawasan elit berpagar dan berpengawal yang dipercayai beroperasi sebagai pusat panggilan itu dilakukan antara 10.55 pagi hingga 5 petang.
“Menerusi pemeriksaan dijalankan seramai 19 individu termasuk lapan lelaki dan tujuh wanita warga tempatan serta empat lelaki warga asing berusia antara 16 hingga 38 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
“Remaja perempuan berusia 16 tahun yang ditahan tidak bersekolah serta 18 individu lain yang bekerja di pusat panggilan sebagai pekerja biasa iaitu menghubungi mangsa menerusi aplikasi Telegram, Tik Tok dan WeChat manakala seorang lelaki berusia 38 tahun bekerja sebagai penyelia,” katanya.
Hasil siasatan mendapati, pekerja sebagai operator ditawarkan gaji bulanan RM2,500 manakala penyelia pula dibayar gaji RM7,000 serta disediakan kemudahan penginapan, makanan percuma di rumah sewa.
“Siasatan awal mendapati modus operandi ahli sindiket berkenaan adalah mempromosikan dan menawarkan pelaburan secara atas talian dengan menjanjikan pulangan yang lumayan,” katanya.
Kumar berkata, polis turut merampas 73 telefon bimbit, 40 keping kad sim, 16 helai kertas mengandungi skrip kerja, 14 komputer riba, sebuah kenderaan, sebuah modem Wifi dan serangkai kunci rumah dalam operasi berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atau Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959.
Jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang setahun dan tidak melebihi 10 tahun dan dengan sebatan dan denda.
Beliau berkata, tempoh tahanan reman tamat pada hari ini dan akan dilanjutkan serta nilai pelaburan dan jumlah kerugian mangsa masih dalam siasatan.- MalaysiaGazette