Pengarah Jentera Pilihan Raya Pemuda Perikatan Nasional, YB Hilman Idham, hadir pada sidang media pemuda Perikatan Nasional Selangor sempena PRK N06, ketika tinjauaan malaysia gazette di bilik gerakan utama perikatan Kuala Kubu Baharu, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 30 APRIL 2024.

HULU SELANGOR – Usaha menaik taraf Pasar Awam Kuala Kubu Bharu yang tiada kesudahannya sejak lebih empat tahun menyebabkan peniaga khususnya anak-anak muda mengalami kemelesetan pendapatan.

Pengarah Jentera Pilihan Raya Pemuda Perikatan Nasional (PN), Muhammad Hilman Idham berkata, pembangunan infrastruktur yang tidak memangkin kesejahteraan rakyat telah memasung kesejahteraan hidup generasi muda.

“Pemuda PN yakin isu-isu ini berpunca daripada kegagalan Kerajaan Negeri dan wakil rakyat sebelum ini yang tidak prihatin terhadap keperluan dan kehendak masyarakat setempat.

“Pemuda PN yakin, tuntutan rakyat Kuala Kubu Bharu khususnya denyutan nadi anak-anak muda ini hanya dapat dirasai oleh calon tempatan yang faham permasalahan dan kehendak setempat,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh Pilihan Raya Kecil (PRK) N.06 Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei ini manakala hari penamaan calon pada 27 April lalu.

Kerusi DUN Kuala Kubu Bharu menjadi kosong susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58, akibat penyakit kanser pada 21 Mac lalu.

Menurut Hilman, kemudahan infrastuktur sukan dan rekreasi yang terhad menyebabkan anak muda Kuala Kubu Bharu tidak dapat menjana peluang ekonomi mampan dan menjamin kesejahteraan hidup tempatan.

“Isu kos sara hidup yang kian menghimpit rakyat benar-benar memberi impak kepada kehidupan seharian termasuk generasi muda.

“Kenaikan harga barang, tarif air, tarif elektrik serta gugatan ke atas ekonomi domestik menjadi punca kehidupan rakyat yang semakin tertekan,” katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan angin perubahan sedang melanda Kuala Kubu Bharu.

“Pengundi muda perlu bersama dengan arus perubahan yang semakin kencang dengan memilih calon PN agar suara rakyat Kuala Kubu Bharu kembali dijelmakan dalam Dewan Negeri Selangor,” katanya lagi. – MalaysiaGazette