Pengarah Jentera Pilihan Raya Pemuda Perikatan Nasional, YB Hilman Idham, hadir pada sidang media pemuda Perikatan Nasional Selangor sempena PRK N06, ketika tinjauaan malaysia gazette di bilik gerakan utama perikatan Kuala Kubu Baharu, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 30 APRIL 2024.

HULU SELANGOR – Pemuda Perikatan Nasional (PN) menyerahkan dakwaan pihaknya terlibat di sebalik tindakan provokasi mencantumkan logo UMNO dan DAP dalam satu sepanduk kepada polis.

Pengarah Jentera Pilihan Raya Pemuda Perikatan Nasional (PN), Muhammad Hilman Idham berkata, ini kerana perkara itu sudah dilaporkan kepada pihak berkuasa.

“Memandangkan laporan polis telah dibuat, kita serahkan sepenuhnya kepada polis untuk menyiasat perkara tersebut,” katanya pada sidang media hari ini.

Sebelum ini, Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh berang dengan tindakan segelintir penyokong Perikatan Nasional (PM) yang didakwa mempamerkan replika mencantumkan logo UMNO dan DAP ketika penamaan calon PRK Kuala Kubu Baharu pada Sabtu lalu.

Dr Muhamad Akmal dilaporkan berkata, berkempen dengan cara menghina pihak lawan bukan pendekatan politik matang sebaliknya mencemarkan imej agama Islam di mata orang lain.

Dalam pada itu, Hilman mengingatkan Pergerakan Pemuda UMNO agar tidak menuduh PN yang bertanggungjawab melakukan tindakan provokasi itu.

“Jangan salahkan kita, sebab kita pun tak tahu siapa yang bawa sepanduk itu, boleh jadi yang bawa sepanduk itu ahli UMNO.

“Mungkin ahli UMNO cawangan bandar Kuala Kubu ke…ahli UMNO Kampung Air Jernih ker…,” katanya.

Hilman tidak menolak kemungkinan tindakan itu menunjukkan akar umbi UMNO sendiri menolak kerjasama politik dengan DAP.

“Jadi itu adalah manifestasi kepada apa yang berlaku iaitu sentimen yang berlaku dalam UMNO,” katanya.

Katanya lagi, Pemuda PN tidak memusuhi UMNO kerana beliau percaya ahli-ahli parti itu di Kuala Kubu Bharu mahu bersama PN.

“Pada hari itu banyak sepanduk, banyak plakad, ribuan rakyat yang hadir, ada yang berbaju PN, ada yang berbaju bukan PN. Jangan kita tertekan pula, jangan kita nak menyekat kebebasan rakyat untuk berkreativiti.

“Sudahlah hari ini kerajaan kita sekat kebebasan media dan bersuara. Semua kebebasan disekat. Bagi saya itu suatu perkara biasa dan itu yang disuarakan oleh rakyat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast