KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) cakna terhadap Laporan Bank Dunia yang memberi gambaran membimbangkan terhadap sistem pendidikan negara.
Antara isu utama yang disentuh dalam laporan bertajuk Bending Bamboo Shoots: Strengthening Foundation Skills adalah kualiti dan akses pendidikan prasekolah termasuk pembangunan profesionalisme guru.
Susulan itu, KPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya kini sedang melaksanakan pelbagai inisiatif bagi mereformasikan pendidikan negara.
Ini termasuk pengstrukturan semula sistem prasekolah, Kurikulum Persekolahan 2027 dan intervensi kurikulum bagi menangani keciciran pembelajaran.
Antara lain ialah kelas prasekolah turut diperluas di seluruh institusi pendidikan KPM dalam memastikan isu keciciran murid dapat ditangani dari awal.
Malah tumpuan turut diberi kepada pembangunan profesionalisme guru dengan meningkatkan kompetensi mereka termasuk memperkenalkan Sistem Pengurusan Pembelajaran (SiPP) bagi memenuhi kompetensi digital guru.
Sebelum ini, Tan Sri Rafidah Aziz melahirkan rasa bimbang apabila laporan itu menyatakan Malaysia jauh ketinggalan berbanding negara serantau termasuk Vietnam yang merupakan sebuah negara dengan sumber lebih rendah.
Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berharap jurang yang ada dapat dikurangkan selepas laporan sama memaklumkan hanya 58 peratus pelajar di Malaysia mahir membaca pada akhir darjah lima. – MalaysiaGazette