Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli memberitahu tiada apa yang perlu dibimbangkan dan beliau akan terus memberikan kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Seperti yang saya tegaskan, saya akan terus memberikan kerjasama yang baik kepada SPRM dalam membuat siasatan.

“Tiada apa yang perlu dibimbangkan. Insya-Allah. Terima kasih atas komen yang baik-baik, mendoakan urusan saya dipermudahkan. Semoga doa-doa yang baik ini juga berbalik kepada anda,” katanya menerusi akaun Facebook rasminya sebentar tadi.

Beliau dalam hantaran turut memaklumkan telah selesai memberi keterangan kepada SPRM dan meminta pihak tertentu supaya tidak menjadi penyebar kepada berita palsu.

“Alhamdulillah, selesai memberi keterangan. Penting untuk mencari dan dapatkan berita yang sahih. Jangan jadi penyebar kepada berita palsu,” ujarnya.

Sementara itul Pengerusi Jawatankuasa Penerangan Negeri Perlis, Muhammad Azmir Azizan turut mengesahkan Mohd Shukri Ramli hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di, Putrajaya hari ini.

Beliau berkata, Mohd. Shukri hadir memberi keterangan berhubung kes siasatan ke atas anak lelakinya di bawah Seksyen 53(3) Akta SPRM yang ditahan reman sebelum dilepaskan dengan jaminan SPRM baru-baru ini.

“Beliau (Mohd Shukri) hadir memberi keterangan untuk membantu proses siasatan dan tidak ditahan oleh SPRM (sebagaimana laporan sebuah portal berita).

“Beliau telah dibenarkan pulang selepas selesai memberi keterangan (tersebut),” katanya memetik laporan HarakahDaily hari ini.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM Putrajaya, Datuk Azmi Kamaruzaman mengesahkan perkembangan itu kepada media namun tidak mengulas lanjut.

Sebelum itu, sumber berkata, Mohd. Shukri dipanggil untuk membantu siasatan kerana dipercayai terbabit salah guna kuasa dalam pentadbiran negeri itu semenjak PN mengambil alih pentadbiran negeri selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 pada 2022 lalu.

Minggu lalu, anak Mohd Shukri yang juga menantu kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang antara enam individu direman SPRM bagi membantu siasatan berhubung siasatan pemalsuan dokumen dalam membuat tuntutan palsu berjumlah RM600,000.

Ia membabitkan pelaksanaan projek pembangunan prasarana seperti membaikpulih, menyelenggara, perbekalan dan perkhidmatan di seluruh Perlis sejak 2022 hingga hari ini dimana menjurus kepada tuntutan palsu terhadap kerja yang tidak dilaksanakan.

Dua hari lalu pula, SPRM mengesahkan sedang menyiasat seorang pemimpin kanan sebuah negeri di utara kerana disyaki terbabit dengan salah guna kuasa.

Ia didakwa melibatkan beberapa projek pembekalan melibatkan peruntukan bernilai kira-kira RM300,000.

Menurut sumber, pemimpin berkenaan juga disyaki melantik beberapa syarikat bagi kerja-kerja baik pulih dan penyelenggaraan jalan membabitkan peruntukan Pejabat Menteri Besar kira-kira RM1 juta yang mana syarikat-syarikat tersebut mempunyai kepentingan dengan anaknya. – MalaysiaGazette