Muhammad Saifuddin Shafik, 36, didenda RM23,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat selepas membuat hantaran jelik berhubung nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terhempas yang mengorbankan 10 kru.

BARU-baru ini, kita digemparkan dengan nahas dua buah helikopter terhempas di Lumut, Perak. Pesawat HOM (M503-3) dan pesawat Fennec telah bertembung di udara sebelum terhempas mengakibatkan 10 orang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) maut dalam raptai penerbangan dari padang Sitiawan ke Lumut, Perak. Namun, beberapa hari selepas kejadian menyayat hati itu muncul komen di media sosial yang jelik dan menjadi bualan para netizen bersimpati terhadap waris-waris mangsa yang terlibat.

Setelah disiasat oleh pihak polis, seorang peniaga dalam talian yang menggunakan nama
profil Saifuddin Shafik di sebuah aplikasi media sosial didakwa selepas menghantar komen yang tidak berperikemanusiaan dan dikenakan denda sebanyak RM23,000 serta tiga bulan penjara sekiranya tidak mampu untuk membayar denda tersebut. Hukuman tersebut bertujuan untuk memberikan pengajaran kepada orang awam agar menggunakan media sosial secara berhemah.

Namun, lelaki yang menghidapi penyakit bipolar itu menzahirkan rasa kesalnya dan
memohon kemaafan kepada waris-waris yang terlibat dan seluruh rakyat Malaysia.
Sungguhpun menghidap penyakit berkenaan, mahkamah tetap mengenakan denda supaya hal ini menjadi pengajaran kepada warga maya yang lain. Pengajaran daripada kes ini ialah untuk semua warga maya memahami peri pentingnya menjaga jari di alam siber.

Dalam kes ini, pesalah yang menghidap sakit juga dijatuhkan kesalahan dan didenda, apatah lagi individu yang normal. Ini menunjukkan betapa kesalahan seumpama ini dilihat sebagai pengajaran penting buat semua di luar sana. Menurut statistik pada 2021, Malaysia menduduki tangga kedua paling tinggi bagi kategori jenayah siber di Asia, selepas India. Hal ini amat menyedihkan kerana masyarakat Malaysia sering dilabel sebagai masyarakat yang peramah dan hormat-menghormati.

Sungguhpun begitu, tidak semua komen jelik dalam talian dikategorikan sebagai jenayah
siber. Ia bergantung kepada pelbagai faktor seperti sifat komen itu sendiri, bidang kuasa di mana komen dibuat, dan undang-undang yang mengawal tingkah laku dalam talian di bidang kuasa tersebut. Dalam banyak kes, komen dalam talian yang dianggap memfitnah, mengancam, mengganggu, atau mencetuskan keganasan boleh dikategorikan sebagai gangguan siber atau buli siber, yang boleh dianggap sebagai satu bentuk jenayah siber.

Selain itu, jika komen tersebut melibatkan ucapan kebencian atau diskriminasi terhadap kumpulan tertentu berdasarkan bangsa, agama, jantina, atau ciri-ciri dilindungi lain, ia juga boleh dianggap sebagai jenayah siber di bawah undang-undang tertentu di Malaysia.
Walau bagaimanapun, penting untuk diingat bahawa tidak semua komen negatif atau kritikal dalam talian dianggap sebagai jenayah siber. Kebebasan bersuara adalah hak asasi dalam banyak negara, dan individu biasanya dibenarkan untuk menyatakan pendapat mereka dan terlibat dalam perbincangan, walaupun komen mereka adalah negatif atau kontroversi, selagi mereka tidak melanggar undang-undang.

Kebebasan bersuara itu penting namun berkata-katalah dengan sesuatu yang relevan dan
bermanfaat kepada diri dan orang lain. Dalam Islam, jika tiada yang penting untuk
disuarakan, kita disarankan untuk diam. Sesungguhnya berdiam diri lebih baik daripada
melontarkan kata-kata yang tidak benar, tidak sopan, dan menyakitkan pihak lain. Sabda
Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Barang siapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam" – (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim). Rasulullah SAW turut bersabda yang maksudnya: “Barang siapa yang diam nescaya dia akan selamat” (Hadis riwayat at-Tirmidzi).

Dr Siti Suriani Othman
Pensyarah Kanan
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan
Universiti Sains Islam Malaysia

Noor Hafizah Ahmad Jaafar
Pelajar Sarjana Muda Kewartawanan
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan
Universiti Sains Islam Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast