Norena (kanan) dan Mohd Noor Helmy melihat minyak peket yang disembunyikan dalam asrama pekerja sebuah restoran mamak di Semabok sebelum dipindahkan ke dalam botol 5 kilogram.

MELAKA – Taktik sebuah restoran mamak menyembunyikan minyak peket bersubsidi di asrama pekerja sebelum memindahkannya ke dalam botol tanpa subsidi terbongkar apabila dserbu pihak berkuasa hari ini.

Dalam serbuan sekitar 3 petang itu, sebanyak 717 kilogram peket minyak masak bersubsidi dan tepung gandum ditemui di asrama pekerja tingkat satu restoran berkenaan di Semabok.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri Norena Jaafar berkata, ia selepas menerima laporan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abd Halem malam tadi.

“Ini adalah modus operandi pertama dikesan apabila pemilik restoran menggunakan asrama pekerja untuk menyembunyikan barangan bersubsidi iaitu 20 kotak minyak masak peket satu kilogram.

“Selain 340 peket minyak, kita turut menyita 377 kilogram tepung gandum atas kesalahan gagal mengemukakan sebarang dokumen permit kebenaran menyimpan barang kawalan berjadual,” katanya.

Norena Jaafar

Beliau berkata demikian selepas mengetuai serbuan di restoran bersama Mohd Noor Helmy di sini petang tadi.

Mengulas lanjut, Norena berkata, siasatan lanjut turut menemui empat botol minyak masak bersaiz lima kilogram yang dijual tanpa subsidi serta satu corong minyak yang dipercayai untuk memindahkan minyak masak peket ke dalam botol.

“Kita percaya minyak masak dalam botol berkenaan sebenarnya adalah minyak peket bersubsidi yang dituang ke dalamnya untuk mengaburi mata pihak berkuasa kononnya mereka mematuhi undang-undang.

“Ini kerana minyak peket tidak boleh digunakan peniaga sebaliknya hanya untuk kegunaan isi rumah,” katanya sambil menambah kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya. – MalaysiaGazette