Gambar hiasan

KUALA TERENGGANU – Sebanyak tiga kes strok haba dan dua kes kelesuan haba dilaporkan berlaku di Terengganu setakat bulan lepas.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Datuk Dr Kasemani Embong berkata, kes tersebut melibatkan lima individu terdiri daripada kumpulan berisiko iaitu pelajar sekolah dan warga emas selain pekerja projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan anggota tentera.

Bagaimanapun beliau berkata setakat ini tiada kes kematian direkodkan akibat cuaca panas.

Menurutnya, berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia, daerah Besut, Setiu, Dungun dan Kemaman mencatatkan amaran cuaca panas tahap satu iaitu berjaga-jaga dengan suhu harian antara 35 hingga 37 darjah Celcius.

“JKNT menasihatkan orang ramai terutama golongan berisiko seperti warga emas, pelajar sekolah, ibu hamil, pesakit kronik dan pekerja yang bertugas di luar supaya sentiasa berwaspada dan mengambil langkah kesihatan sepatutnya,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis Aidilfitri JKNT di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Dr Kasemani berkata, empat pesakit yang menerima rawatan di wad akibat keracunan makanan pada 28 April lepas telah dibenarkan pulang setelah pulih sepenuhnya.

Bagaimanapun beliau berkata, pihak JKNT masih meneruskan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan pesakit lain yang mungkin terdedah.

Menurutnya lima, individu mengalami gejala cirit-birit dan muntah disyaki akibat memakan kuih ketayap yang dibeli di Pasar Bukit Payong di Marang dengan empat pesakit dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) manakala seorang lagi diberikan rawatan pesakit luar di Klinik Kesihatan Bukit Payong. – Bernama