Foto Facebook KHM.

KUALA LUMPUR – Kejohanan jemputan terulung, Piala Sultan Azlan Shah kembali menemui peminat sukan hoki tanah air dengan kejohanan yang menampilkan enam pasukan terbaik dunia itu akan berentap bermula esok hingga 11 Mei depan di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, Ipoh, Perak.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan merangkap Pengurus Pasukan Senior Lelaki Kebangsaan, Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak secara rasminya menyenaraikan 18 pemain yang bakal membawa cabaran Malaysia menentang New Zealand, Kanada, Jepun, Korea Selatan dan Pakistan.

Menerusi senarai itu, pemain muda berusia 19 tahun yang pertama kali dipanggil menyertai pasukan senior, Azimuddin Syakir Kamaruddin serta bekas penjaga gol pasukan remaja kebangsaan, Che Sharul Azmi Che Saupi bakal meraih caps antarabangsa pertama mereka.

Jelas Ahmad Najmi, apa yang dituntut daripada 18 pemain yang telah dipilih bagi kejohanan ini adalah agar setiap pemain dapat memberikan aksi yang terbaik bagi membantu pasukan mencapai keputusan terbaik dalam kejohanan pertama mereka.

“Ini merupakan kejohanan pertama buat pasukan yang baru dibentuk dan kami berharap agar kombinasi 18 pemain baru dan lama dapat membentuk satu keserasian dan persembahan terbaik di kejohanan ini.

“Kami ingin melihat satu kerjasama yang baik antara barisan pemain dan kejurulatihan selain pasukan akan mengambil satu perlawanan demi satu perlawanan untuk diberikan perhatian,” katanya di Facebook Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) di sini.

Dalam pada itu, Ketua Jurulatih Pasukan Lelaki Kebangsaan, Sarjit Singh menyifatkan pemilihan 18 pemain yang diumumkan itu telah mengambil kira pelbagai aspek termasuk prestasi semasa pemain, komitmen semasa sesi latihan serta pemahaman konsep yang diterapkan pasukan.

“Kami barisan kejurulatihan berharap persefahaman antara pemain muda atau pemain baru di dalam pasukan bersama pemain yang lebih senior dapat dibentuk dengan cepat sewaktu dalam perlawanan dan berharap pasukan ini dapat berkembang serta menjadi lebih matang dengan secepat mungkin terutamanya ketika bersaing di peringkat antarabangsa.

“Barisan kejurulatihan juga mengharapkan pemain dapat memberikan aksi yang konsisten dalam setiap perlawanan selain keyakinan yang tinggi serta sikap yang baik dapat ditunjukkan sepanjang kejohanan  berlangsung.

“Kejohanan pertama ini juga seharusnya digunakan oleh pemain-pemain yang lebih muda untuk menimba ilmu sebanyak yang mungkin daripada pemain yang lebih berpengalaman,” ujarnya.

Semalam, The Speedy Tigers telah menjalani aksi persahabatan menentang New Zealand sebagai persediaan terakhir sebelum kejohanan membuka tirai dengan Malaysia mencatatkan kemenangan 3-2 ke atas lawannya itu dan petang ini, aksi persahabatan terakhir telah berlangsung di mana Malaysia yang menurunkan rata-rata pemain simpanan tewas 1-2 kepada Korea. – MalaysiaGazette