BARU-baru ini, saya terbaca satu artikel mengenai sebuah Program Geran yang mengajak orang ramai untuk mengenal pasti projek untuk meningkatkan kualiti hidup, pendapatan dan gaya hidup penghuni di 10 Perumahan Awam di Lembah Klang. Malah, kebelakangan ini ada banyak peluang memohon geran daripada kerajaan demi merancakkan keusahawanan. Ini adalah pendekatan baru untuk menarik orang ramai dan entiti perniagaan agar terlibat dalam program-program yang boleh meningkatkan kualiti kehidupan golongan berpendapatan rendah.
Saya yakin program seperti ini dapat memupuk komuniti bandar yang inklusif dan ceria, dan boleh menjadi contoh penyelesaian inovatif di kalangan penghuni perumahan awam.
Visi ThinkCity memperkasa perubahan positif, dengan melancarkan program K2K dalam usaha menangani kemiskinan dan isu-isu sosial perumahan awam, harus dipuji. Saya tertarik dan sebenarnya terkejut apabila sedar bahawa komuniti perumahan awam merupakan kira-kira 1.76 juta individu iaitu 25% penduduk bandar Lembah Klang.
Saya tidak dapat gambarkan apa yang perlu dihadapi oleh penduduk ketika mereka sering dibelenggu oleh masalah infrastruktur yang tidak mencukupi, akses yang terhad kepada perkhidmatan asas, dan kekurangan ruang awam yang memberi inspirasi.
Untuk melestarikan bandar raya kita, adalah amat penting tiada golongan yang tertinggal atau tercicir. Saya percaya keperluan intervensi bagi penghuni perumahan awam dan berharap semua dapat menyokong rangkaian program keusahawanan, pembangunan masyarakat, serta penyelidikan yang disusun di bawah payung K2K.
Inisiatif-inisiatif ini boleh berfungsi sebagai pemulihan bandar yang holistik, berusaha untuk meningkatkan kesejahteraan dan daya tahan penduduk di samping memupuk rasa bangga dan nilai murni serta muhibah.
Program K2K ini nampaknya dapat merapatkan jurang masyarakat bandar dan golongan berpendapatan rendah. Dengan menangani isu-isu berkaitan infrastruktur, pemerkasaan sosio-ekonomi, dan penglibatan komuniti, program-program tersebut bertujuan mewujudkan persekitaran bandar yang lestari dan inklusif di mana semua penghuni boleh berkembang maju.
Wujudnya pelbagai inisiatif seperti memperhebat ruang awam serta menggalakkan peluang ekonomi, saya percaya K2K akan membantu mencapai potensi penuh penempatan perumahan awam, justeru, membuka jalan untuk masa depan yang lebih cerah untuk semua terutamanya anak-anak kita yang membesar di dalam masyarakat ini.
Kita dapat melihat komitmen ThinkCity untuk memperkasa komuniti tempatan dan memacu impak yang ketara. Geran K2K ini menyediakan sumber dan sokongan untuk pembangunan program atau projek yang bertujuan meningkatkan taraf hidup penghuni perumahan awam. Dengan memupuk inovasi akar umbi dan inisiatif yang diterajui oleh komuniti, Geran K2K memberi kuasa kepada para penghuni demi masa depan mereka.
Hala tuju ke arah kehidupan lestari di perumahan awam memerlukan tindakan kolektif dan kerjasama merentasi sektor. Dalam usaha kita untuk membina komuniti bandar yang inklusif dan berdaya tahan, kita mesti memanfaat kuasa kolektif agensi kerajaan, sektor swasta, organisasi masyarakat, dan penduduk.
Bersama-sama, kita dapat mewujudkan kawasan kejiranan yang ceria dan berkembang maju di mana setiap individu mempunyai peluang untuk menjalani kehidupan yang mampan. Tidak dilupakan keprihatinan kerajaan dalam menangani hal ini.
Afiqah Rashdi
Kuala Lumpur