Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Shakar Shamsudin bercakap selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 03 MEI 2024.

KUALA LUMPUR – Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO hari ini membincangkan kewujudan titah adendum (tambahan) supaya bekas presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak menghabiskan baki tempoh pemenjaraan dengan tahanan di rumah.

Seorang ahli MKT, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin mengesahkan isu tersebut telah dibangkitkan dan dibincangkan dalam mesyuarat itu namun enggan mengulas lanjut.

“Memang ada dibincangkan MKT UMNO dan saya tidak boleh mengulas lanjut kerana perkara itu masih dalam proses mahkamah,” katanya kepada media selepas mesyuarat MKT UMNO di Menara Dato Onn, di sini, hari ini.

Mesyuarat tersebut dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri.

Sebelum ini, Ahmad Zahid memfailkan afidavit bagi menyokong permohonan Najib yang didakwa mendapatkan kebenaran semakan kehakiman bagi mencabar kewujudan titah adendum Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

Titah tambahan itu dikatakan bagi membolehkan bekas perdana menteri menghabiskan baki hukuman penjaranya di rumah.

Sebelum itu, Najib telah diberikan keringanan hukuman iaitu pemotongan tempoh tahanan penjara serta denda yang perlu dibayarnya.

Ahmad Zahid memfailkan afidavit itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 April lalu setelah melihat dan membaca titah itu didakwanya melalui Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 30 Januari lalu. – MalaysiaGazette