SM Nasarudin SM Nasimuddin

KUALA LUMPUR – Naza Corporation Holdings Sdn Bhd (Kumpulan Naza) telah mengambil alih pegangan 100% dalam Berjaya Enviro Holdings Sdn. Bhd. (BEnviro), sebuah pemain utama dalam industri pengurusan sisa.

Pengambilalihan ini membuka peluang unik kepada Kumpulan Naza untuk menceburi ekonomi hijau, dan memanfaat peluang pertumbuhan dalam sektor sisa pepejal perbandaran (MSW), sisa terjadual (SW), dan sektor ‘waste to energy’ (WTE).

Transaksi ini juga melibatkan pengambilalihan tujuh entiti di bawah BEnviro, iaitu, BPJ-Berjaya Sdn Bhd, Berjaya Eco Services Sdn Bhd, Save the Sea Sdn Bhd, Berjaya Enviro Parks Sdn. Bhd., Amita Berjaya Sdn. Bhd., J&T Berjaya Alam Murni Sdn. Bhd. dan Berjaya Energies Sdn. Bhd.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Naza, SM Nasarudin SM Nasimuddin berkata, pengambilalihan ini merupakan satu mercu tanda penting dalam halaju pertumbuhan Naza dan mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain utama dalam sektor pengurusan sisa di negara ini.

“Melalui pengambilalihan ini, Naza dapat menawarkan solusi menyeluruh untuk memenuhi keperluan pengurusan sisa Malaysia, dengan memanfaatkan infrastruktur operasi yang luas, kemajuan teknologi, dan tenaga kerja berbakat BEnviro serta tujuh anak syarikatnya.

“Pengurusan sisa merupakan asas ekonomi hijau, dengan potensi aliran pendapatan stabil, yang tidak terjejas oleh kitaran ekonomi. Pengambil alihan ini mencerminkan dedikasi dan komitmen Naza terhadap pertumbuhan strategik perniagaannya, dengan menceburi dalam penyediaan solusi komprehensif pengurusan sisa, disamping memberi penekanan kepada kelestarian alam sekitar,” katanya dalam kenyataan di sini.

Tambah beliau, Kumpulan Naza kini menerokai sektor-sektor baharu yang sejajar dengan visinya untuk pembangunan mampan, kecekapan sumber, dan penekanan kepada piawaian tertinggi dalam kebertanggungjawaban alam sekitar.

Sektor pengurusan sisa, yang merupakan aspek penting ekonomi hijau, dijangka mengalami pertumbuhan yang besar, sejajar
dengan visi Naza.

Perniagaan pengurusan sisa mempunyai aliran pendapatan stabil yang dapat diramalkan dan tidak bergantung kepada kitaran ekonomi.

Kedua-dua faktor ini merupakan pertimbangan penting bagi NAZA dalam pengambil alihan ini, ujar beliau. – MalaysiaGazette