Foto: Perlihitan

TANAH MERAH – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan menangkap seekor gajah liar di Kampung Tal Tujuh, Jerangau, semalam.

Pengarahnya, Mohamad Hafid Rohani berkata, tangkapan itu dilakukan selepas pihaknya menerima aduan mengenai gangguan gajah liar di kawasan kampung berkenaan.

“Seramai enam anggota dari PERHILITAN Daerah Jeli dan Unit Tangkapan Gajah (UTG) Negeri Kelantan telah menjalankan pemantauan dan seterusnya berjaya menangkap seekor gajah liar jantan itu semalam.

“Tangkapan Gajah liar ini sedikit sebanyak melegakan penduduk di kawasan kampung terbabit seterusnya dapat mengelakkan kerugian berterusan akibat kemusnahan tanaman dan harta benda disebabkan konflik gajah berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Hafid berkata, operasi pemindahan dan pelepasan gajah liar ke habitat yang lebih sesuai dan selamat akan dijalankan dalam masa terdekat dengan bantuan kakitangan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Lanchang di Pahang dan kakitangan Perhilitan Kelantan.

“Kita ingin menjelaskan bahawa tindakan bagi mengurangkan konflik yang berlaku di kawasan berkenaan juga telah dijalankan dengan memberi khidmat nasihat kepada penduduk khususnya pekebun agar mengambil langkah mitigasi.

“Tangkapan dan pemindahan gajah liar itu bukan penyelesaian jangka panjang memandangkan kawasan kebun berkenaan berhampiran dengan kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Sokor Taku dan dipercayai anggaran populasi gajah liar yang berada di HSK ini adalah lebih daripada 20 ekor.

“Justeru itu, pekebun dinasihatkan mengambil langkah yang lebih efektif seperti pembinaan parit gajah bagi mengurangkan gangguan konflik yang berlaku,” katanya.

Beliau meminta orang ramai lebih berhati-hati dan berwaspada sekiranya terserempak dengan hidupan liar dan tidak mengambil tindakan sendiri yang boleh mendatangkan bahaya keselamatan kepada diri sendiri.

“Sebarang aduan serta maklumat berkenaan hidupan liar boleh disalurkan kepada Jabatan Perhilitan melalui talian hotline 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my,” katanya. – Bernama