Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf bercakap pada Sidang Media mengenai perkembangan semasa jenayah komersil di Menara KPJ, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 03 MEI 2024.

KUALA LUMPUT – Orang ramai diingatkan tidak menyertai sebarang skim pelaburan yang tidak berdaftar di Malaysia kerana penyertaan mereka tidak akan dilindungi dalam perundangan negara ini, sekali gus meletakkan risiko kepada pelabur untuk mengalami kerugian lebih besar.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf memetik keputusan Mahkamah Persekutuan pada 24 April lalu yang membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk melucut hak sejumlah RM1,112,700 daripada 79 pelabur skim pengambilan deposit secara haram.

Katanya, panel hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat telah mengarahkan wang tersebut dilucut hak kepada hasil kerajaan.

Dalam kes tersebut, 79 responden yang terlibat telah membuat tuntutan kepada mahkamah untuk mendapatkan semula wang mereka yang dilaburkan di dalam skim pelaburan VenusFX.

Bagaimanapun, berdasarkan hujahan, wang yang dirampas daripada sindiket pelaburan tersebut adalah hasil aktiviti haram, oleh itu wang yang didepositkan oleh responden juga turut dicemari.

Justeru, responden tidak boleh dianggap mempunyai kepentingan undang-undang yang sah terhadap wang berkenaan.

“Mahkamah tinggi dan mahkamah rayuan juga dikatakan telah terkhilaf daripada segi undang-undang ketika memutuskan bahawa responden telah menjadi mangsa penipuan sedangkan bukti menunjukkan mereka secara sukarela dan tanpa paksaan telah mendepositkan wang ke akaun yang diarahkan untuk menjadi pelabur dalam skim VenusFX serta mengharapkan pulangan atas pelaburan tersebut,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Ramli sekali lagi mengingatkan orang untuk tidak mempercayai sebarang tawaran yang berbentuk “to good to be true”.

Beliau juga merujuk kepada satu kes Jabatan Siasatan Jenayah Komersil dalam siasatan satu kes di Petaling Jay, yang mana pengadu memaklumkan telah berkenalan dengan suspek yang mengaku sebagai pemilik sebuah syarikat yang menjalankan perniagaan multi-level marketing (MLM).

Pengadu diyakinkan syarikat milik suspek bakal berkembang menjadi syarikat gergasi dan mempunyai cawangan di seluruh negara.

Selain itu, suspek meyakinkan pengadu dia mempunyai pegangan saham sebanyak 20,000,000 unit saham di dalam syarikat tersebut dengan nilai 1 unit saham bersamaan RM1.

Suspek kemudian menawarkan kepada pengadu untuk mengambil 5,000,000 unit saham miliknya dengan nilai hanya RM0.80 untuk setiap unit.

Pengadu yang telah diperdaya membuat tiga pindahan wang ke dalam akaun yang diarahkan oleh suspek.

Namun, semakan lanjut dilakukan mendapati mendapati suspek hanya memiliki 1,500,000 unit saham sahaja dalam syarikat tersebut.

Dorongan suspek telah mengakibatkan pengadu kerugian RM4.1 juta.

Justeru, adalah diingatkan kepada mereka yang berminat untuk melabur, jangan sesekali terlibat dengan apa jua skim pelaburan tidak berdaftar khususnya yang diiklankan melalui laman sosial dan seumpamanya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette