Anwar Ibrahim

KANGAR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa peningkatan gaji penjawat awam mulai Disember tahun ini mampu dilaksana menerusi kawalan pengurusan kewangan kerajaan.

Menteri Kewangan itu berkata, peningkatan gaji penjawat awam, dijangka membabitkan kos lebih RM10 bilion mulai tahun depan, boleh ditampung dengan pengurusan kewangan yang lebih tegas.

“Kenaikan gaji itu boleh dilaksana kerana kita boleh kawal pengurusan kewangan… saya yakin ada barakah, ada nikmat kalau kita betul-betul strict dan rigid dalam hal ini,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Program Perkampungan Sunnah Siri ke-9 di sini malam ini.

Beliau berkata, keputusan untuk menaikkan gaji penjawat awam adalah satu ganjaran yang adil dan sebagai usaha meningkatkan lagi kefahaman tugas serta disiplin mereka.

“Tingkatkan kefahaman, kerja bersungguh-sungguh, disiplin polis, disiplin tentera… jadi saya bertanggungjawab untuk pastikan ini boleh (dilaksanakan),” katanya.

Perdana Menteri juga berkata, pimpinan negara Islam perlu terus berani menegur dan menyatakan pandangan dalam isu kekejaman terhadap rakyat Palestin ketika ini.

“Perkembangan mutakhir di Gaza yang pernah saya ungkapkan sebelum ini ialah kelesuan suara pimpinan negara-negara Islam, hilang upaya dan kekuatan untuk menyatakan sikap keras dan tegas bagi menghentikan kekejaman penjajahan manusia ke atas manusia.

“Oleh yang demikian, kerakusan (rejim) Zionis Israel (akan) berterusan dengan dukungan beberapa negara Barat khususnya Amerika Syarikat.

“Saya tidak mewakili negara besar, saya mewakili negara sederhana dengan kekuatan ekonomi yang sederhana tetapi saya tidak boleh lihat kelesuan ini dan mengizinkannya,” kata beliau. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast