HULU SELANGOR – “Selagi ada bulan bintang selagi itu kita akan pertahan sekolah vernakular. Sekolah Cina dan India akan terus kekal dalam negara ini.
“Inilah antara kata-kata bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini,” kata mantan Menteri Wilayah, Datuk Seri Dr Santhara Kumar.
Ia ekoran kebimbangan segelintir dalam kalangan bukan Melayu andainya Perikatan Nasional (PN) menang pilihan raya.
Menurut Santhara, ketika PN menerajui kerajaan di bawah Muhyiddin, bukan sahaja janji sebaliknya banyak perkara telah berjaya direalisasikanterutamanya isu-isu diperjuangkan oleh kaum India dan Cina di negara ini selama lebih 60 tahun.
Sebagai contoh, jelas bekas Ketua Sayap Bersekutu Bersatu itu, ketika beliau menjadi Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Rumah Ibadat Bukan Islam Wilayah Persekutuan, sebanyak 54 buah rumah ibadat di tanah haram telah berjaya diselesaikan dalam tempoh 11 bulan.
“Selama 60 tahun ini tidak pernah dilakukan sebaliknya ketika kerajaan diterajui oleh Muhyiddin berjaya kita lakukan. Şama juga apabila isu berkaitan sekolah vernakular, beliau tampil beri kenyataan sebagai Perdana Menteri.
“Selagi kita berkuasa selagi itu kita akan pastikan sekolah Tamil dan Cina itu akan kekal berada di sini malah ketika itu juga sudah ada banyak perancangan untuk memartabatkan sekolah vernakular di negara ini. Saya ada ketika itu dan ini bukan omong kosong,” katanya.
Menurutnya, orang India dan Cina tidak perlu takut atau termakan hasutan kononnya jika PN menang mungkin ada pihak hendak tutup sekolah-sekolah ini, rumah ibadat akan dirobohkan.
“Semua itu tidak benar kerana fakta ada depan mata ketika kita berkuasa sebelum ini,” katanya.
Santhara hadir menyantuni pengundi India di Kuala Kubu Bharu di sekitar Kerling hari ini sambil ditemani oleh Ahli Parlimen Hulu Selangor, Mohd Hasnizan Harun.
Dalam pada itu, katanya, ada juga pihak telah dihasut kononnya Pas parti ekstremis walaupun pada hakikatnya parti itu juga dalam Kabinet ketika PN menjadi kerajaan.
“Banyak juga perkara telah dilaksanakan ketika itu dan Pas banyak memberikan sokongan serta kerjasama sebagai rakan seperjuangan yang baik dalam memastikan segala kepentingan kaum bukan Melayu akan terus dilaksanakan.
“Pas juga banyak membantu dalam hal berkaitan rumah-rumah ibadat ini jadi apa lagi hasutan yang boleh dibawa oleh pihak lawan?” soalnya. – MalaysiaGazette