HULU SELANGOR – Perikatan Nasional (PN) yakin sokongan rakyat kini sudah mula memihak kepada gabungan pembangkang berdasarkan sokongan diterima mereka sejak kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) di Kuala Kubu Bharu.
Menurut Ketua Penerangan Sayap Bersekutu Bersatu, Datuk Sri Sanjeevan Ramakrishnan, tujuan PN kerja keras pada PRK kali ini bukan hanya setakat mahu memberi saingan kepada calon Pakatan Harapan (PH) sebaliknya mahu merampas kerusi DUN Kuala Kubu Baharu.
Ia bagi memberi isyarat bahawa kerajaan yang ada pada hari ini ditolak oleh rakyat.
“Kerajaan Perpaduan yang ada pada hari ini tidak dapat berfungsi dengan sebaiknya kerana di dalamnya terdapat kelompok yang duduk di kerusi empuk semata-mata dan hanya ingin membebaskan diri dari pertuduhan mahkamah.
“Mereka ini hanya memikirkan tembolok sendiri tanpa mempedulikan nasib rakyat yang terjejas dengan krisis ekonomi semasa.
“Kos sara hidup semakin meningkat tanpa dapat diatasi oleh pimpinan kerajaan Perpaduan pada masa ini. Makanan asas ‘hilang’ dari pasaran. Ringgit terus melemah dari semasa ke semasa. Malah kita dengar subsidi minyak akan di potong, mungkin cukai-cukai juga akan naik dan segala macam.
“Apakah langsung tidak ada rasa kasihan kepada rakyat atau hanya ketika pilihan raya segala janji serta ‘gula-gula’ diberikan? Sedih betul,” katanya selepas kempen di Kuala Kubu Bharu bersama Ahli Dewan Undangan Negeri Gombak Setia, Hilman Idham.
Kata Sanjeevan lagi, pihaknya juga berharap dapat menghantar isyarat kepada kerajaan yang mereka kini ditolak oleh rakyat dengan mengundi calon PN dalam PRK yang akan berlangsung pada 11 Mei ini.
“Kerana itu juga jentera kita sedang bekerja keras siang malam. Jentera PN perlu jumpa seramai mungkin pengundi dari pelbagai kaum untuk menerangkan kepada mereka bahawa hanya PN satu-satunya pilihan terbaik yang dapat mengemudi negara keluar dari kemelut ekonomi,” ujarnya. -MalaysiaGazette