KUALA LUMPUR – Isu boikot, akibat terlalu disensasikan dikhuatiri akan menimbulkan lebih banyak kekeliruan sehingga masyarakat tidak pasti yang mana satu fakta yang benar dan tepat, kata Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Hasanuddin Mohd Yunus.

Oleh itu, katanya, gesaan Mufti Perak, Sahibus Samahah Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh agar masyarakat bertindak wajar dan menggunakan pendekatan berhikmah dalam membela Islam sewajarnya diambil perhatian serius oleh semua pihak, khususnya umat Islam di negara ini.

Menurut beliau, Yadim menyeru semua pihak agar cakna dengan kenyataan Mufti Perak tersebut supaya isu ini tidak menjadi semakin keruh dan merugikan semua pihak.

“Umat Islam dan bukan Islam di negara ini saling memerlukan. Sebarang ketidakadilan dan keburukan yang menimpa salah satunya, akan memberi kesan kepada yang satu lagi. Justeru, saling hormat dan bantu membantulah sesama kita.

“Seperti ditegaskan oleh Wan Zahidi dakwah Islamiah memerlukan suasana tenang dan damai serta hubungan harmoni antara kaum yang menganut pelbagai agama,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Wan Zahidi Wan Teh menegaskan bahawa tuduhan menghina agama Islam yang dilemparkan terhadap pengurusan rangkaian kedai serbaneka, KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Mart) susulan isu stoking tertera kalimah ‘Allah’ tidak terbukti, sekali gus tiada kewajaran agar premis perniagaan syarikat itu diboikot.

Beliau menegaskan, berpandukan kaedah kehakiman Islam, satu daripada rukun penting dalam perlakuan jenayah ialah niat dan keinginan melakukannya atau “alqasdul jinaei” (criminal intent), yang mana elemen rukun itu tidak boleh dibuktikan melalui “syahadah” atau “direct evidence.”

Wan Zahidi berkata, sebaliknya ia hanya boleh dibuktikan dengan pengakuan atau melalui kaedah pembuktian “garainul ahwal” (circumstantial evidence).

Katanya, tindakan memboikot terhadap sesuatu kaum juga bertentangan dengan sunnah Rasulullah SAW di mana dalam sejarah awal Islam, hanya orang kafir Quraisy sahaja yang memboikot umat Islam, namun Rasulullah SAW tidak pernah memboikot walaupun terhadap musuh. – MalaysiaGazette