Dr. Chong Fat Hull menunjukkan gambar kenderaan menggunakan wajah Sultan Ibrahim.

HULU SELANGOR – Sayap Bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membuat laporan polis ke atas sebuah kenderaan yang meletakkan gambar Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di atas bumbung, pintu sebelah kanan dan bahagian belakang.

Menurut ketua sayap, Dr. Chong Fat Hull pihaknya membuat laporan berkenaan kerana kenderaan jenis trak pikap itu turut mengibarkan bendera Johor, bendera Pakatan Harapan, selain gambar Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kenderaan yang menggunakan gambar Sultan Ibrahim.

Katanya, tindakan meletakkan gambar Sultan Ibrahim pada kenderaan kempen seolah-olah memberi gambaran bahawa Yang di-Pertuan Agong turut terlibat dalam politik dan menyokong calon PH.

Tambah beliau, kenderaan itu telah dikesan berlegar-legar berhampiran perkarangan Bilik Gerakan PH yang juga merupakan Pusat Perkhidmatan DUN di Kuala Kubu Baharu.

“Perkara ini tidak seharusnya berlaku dan merupakan satu kegiatan yang menyangkal peraturan pilihan raya.

“Ini akan memberi gambaran seakan Yang di-Pertuan Agong menyokong calon Pakatan Harapan. Ini merupakan satu kesalahan yang amat besar di bawah peraturan pilihan raya,” katanya dalam sidang media hari ini.

Laporan polis telah dibut pada pukul 6.14 petang semalam di Balai Polis Kuala Kubu Baharu.

“Kami tidak menuduh mana-mana pihak selagi siasatan polis belum selesai. Kami berharap semua pihak menghormati Yang di-Pertuan Agong dan berkempen secara bermoral dan berintegriti.

“Setelah dikenalpasti pihak yang berbabit, kami berharap agar Suruhanjaya Pilihan Raya mengambil tindakan yang tegas terhadap pihak yang berkenaan,” kata beliau.

Fat Hull mendakwa, pihak polis telah menahan dua lelaki susulan kejadian berkenaan.-MalaysiaGazette