Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar

PUTRAJAYA – Datuk Mohd Na’im Mokhtar menafikan penganjuran International Conference Of Religious Leaders (ICRL) 2024 ada kaitan dengan promosi pluralisme agama.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu menegaskan persidangan yang diadakan esok memfokuskan kepada isu dan nilai-nilai kemanusiaan daripada pandangan tokoh pelbagai agama.

“Ia tidak ada agenda pluralisme agama, ia tohmahan yang tidak baik kepada kerajaan,” katanya dalam perbincangan dengan wakil media di sini hari ini.

ICRL yang diadakan di Sunway Resort Hotel itu akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ia juga dihadiri oleh Setiausaha Agung Liga Dunia Muslim, Sheikh Dr Mohammad Abdulkarim Al-Issa dan tokoh agama lain mewakil Kristian, Hindu, Buddha dan Sikh.

Menurut Mohd Na’im, objektif utama penganjuran kedua-dua program itu adalah untuk membangun wawasan tamadun bersama bagi menyatukan nilai kesederhanaan dan perpaduan, menangani ancaman pemikiran ekstremis dan mengubah konflik kepada persefahaman, kerjasama dan perpaduan.

“Salah satunya mengenai kekejaman yang berlaku di Palestin,” ujarnya.

Seramai 1,500 peserta dijangka akan menghadiri persidangan berkenaan yang terdiri daripada para ulama, cendekiawan, pemimpin politik, ahli Parlimen, ahli akademik dan tokoh-tokoh pemimpin agama Islam dan bukan Islam dari dalam dan luar negara dari lebih dari 50 buah negara yang dijemput.

Objektif penganjuran International Conference Of Religious Leaders 2024 adalah untuk memupuk semangat keharmonian dalam kalangan penganut pelbagai agama.

Ia juga bagi memupuk asas yang kukuh berpaksikan teras Madani agar bersesuaian dengan realiti semasa masyarakat berbilang agama agar masyarakat berinteraksi dengan harmoni bagi mengekalkan kerukunan dan perpaduan hidup bermasyarakat.

Pada 8 Mei pula, Persidangan Majlis Ulama Asia 2024 pula dianjurkan di Hotel Mandarin Oriental.

Seramai 200 peserta dijangka akan menghadiri persidangan berkenaan yang terdiri daripada para ulama Islam dari dalam negara dan juga dari negara-negara Asia dan majlis penutup dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Objektif penganjuran Majlis Ulama Asia 2024 adalah untuk memupuk perpaduan dan nilai-nilai murni serta menghormati perbezaan pelbagai dimensi dari sudut berdasarkan teras Madani, teologi dan sosiologi.

“Nilai kesederhanaan (wasatiyyah) dalam berhadapan dengan pelbagai fahaman dalam mazhab dan tidak menjadikannya sebagai ketakutan, kebencian atau konflik,” katanya.

Ia juga mungkin membawa kepada cadangan penubuhan Majlis Ulama Asia, katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast