Faisal Halim disimbah asid oleh suspek tidak dikenali dalam kejadian yang disyaki berlaku di Petaling Jaya hari ini. sumber Aplikasi X FinaNasrom

KUALA LUMPUR – Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menasihatkan pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim yang diserang dengan simbahan asid  ‘melupakan seketika’ kancah bola sepak kerana memerlukan rehat.

Beliau berkata, Faisal yang juga pemain Harimau Malaya dan Selangor FC perlu berehat dalam tempoh beberapa bulan mendatang sehingga betul-betul sembuh daripada luka kesan daripada simbahan asid.

“Kondisi dia cukup saya katakan menyedihkan tapi saya berharap Faisal, isteri dan keluarga akan tabah akan dugaan ini. Bahagian kaki dia nampak okay tiada apa-apa. Bahagian tangan kiri badan belah kiri rusuk dan bahu yang cedera.

“Saya katakan kepada dia agar melupakan seketika bola sepak dalam tempoh beberapa bulan yang mendatang untuk dia sembuh sepenuhnya daripada asid yang terkena badannya,” katanya memetik laporan Berita Harian selepas melawat Faisal di hospital malam tadi.

Dalam pada itu, Hamidin juga menyeru kepada semua pemain bola sepak Malaysia sentiasa menjaga diri agar perkara buruk itu tidak berulang.

Insiden malang menimpa Faisal adalah kedua melibatkan pemain Harimau Malaya kerana pada Khamis lalu, pemain sayap negara yang juga pemain Terengganu FC, Akhyar Rashid menjadi mangsa samun.

Akhyar dilapor cedera di kepala dan kaki selepas diserang dua penyamun.

Penjaring Gol Tercantik Piala Asia itu yang kini dirawat di sebuah hospital dekat Shah Alam lecur pada beberapa bahagian tubuh iaitu pada sekitar leher, bahu, lengan dan dada. – MalaysiaGazette