KUALA LUMPUR – Pengurangan subsidi sepatutnya dapat menjimatkan perbelanjaan kerajaan tapi mungkin akan mewujudkan kesan negatif lain sekiranya ia dilaksanakan terutama kenaikan harga barang.
Pakar ekonomi, Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, sudah tentu peniaga akan mengambil kesempatan terhadap sistem pasaran bebas dengan memberikan alasan alasan kos operasi meningkat yang tidak dapat dielak.
“Kalau dilakukan kemungkinan harga barang akan naik kerana di Malaysia ini kita mengamalkan sistem pasaran bebas dan peniaga bebas menaikkan harga dan peniaga akan cepat menaikkan harga kerana ada alasan kos menjalankan peniagaan meningkat.
“Maknanya mereka akan menaikkan harga macam apa yang berlaku tahun lepas sebelum Ramadan tapi sebenarnya kos makanan tidak naik pun,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Jelas Barjoyai, kenaikan harga barang akan memberi kesan terhadap peningkatan kadar inflasi yang memberi impak negatif kepada pembangunan ekonomi negara.
“Harga barang naik ini macam-macam antaranya sebab kos pengangkutan naik, barang bekalan itu sendiri dinaikkan oleh pembekal kalau ini berlaku kadar inflasi akan meningkat, kadar hari ini bagus dalam 1.6 peratus, kalau meningkat kita akan menghadapi masalah kerana akan ada kesan berganda,” jelasnya.
Bagaimanapun, penganalisis ekonomi itu berkata, kajian berkenaan pengurangan subsidi telah dijalankan berbelas tahun namun ia bergantung kepada masa yang tepat untuk melaksanakannya.
“Sebenarnya kita sudah kaji pengurangan subsidi lebih 15 tahun kita buat keputusan mengurangkan subsidi guna subsidi bersasar tapi tahun demi tahun ditangguh.
“Kalau kita berikan balik subsidi bersasar kepada kumpulan yang memerlukan atau semua pengguna kita sepatutnya tidak akan ada kesan maknanya kita hanya cuba elak daripada pembaziran dan penyelewengan,” katanya lagi.
Terbaharu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam berkata, sehingga kini kerajaan belum ada keputusan muktamad untuk masa pelaksanaan mengurangkan subsidi bahan api.
Terdahulu, media asing melaporkan Malaysia akan mengurangkan subsidi bahan api menjelang Jun ini.
Media terbabit yang memetik sumber rasmi dan industri berkata, harga diesel akan diapung pada kadar pasaran dalam tempoh beberapa minggu selepas Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei ini dan ia akan disusuli dengan kenaikan berperingkat petrol dalam kadar runcit.-MalaysiaGazette